SAMBUTAN HARI INOVASI 2012 JMG PAHANG

Hari Inovasi ialah satu sambutan pengiktirafan terhadap nilai inovasi sebagai satu elemen penting dalam memacu kemajuan jabatan. Jabatan Mineral dan Geosains Pahang dan Makmal Kimiabumi Kuantan telah bekerjasama menjayakan majlis sambutan Hari Inovasi 2012 pada Rabu, 8 November 2012, bertempat di ruang legar tingkat bawah JMG Pahang. Majlis yang julung kali diadakan secara bersama ini telah diisi dengan beberapa acara yang bermatlamatkan penerapan nilai inovasi di kalangan kakitangan.  

Pada tahun ini, En. Mazlan B. Mohamad Zain telah diamanahkan menjadi Pengerusi Majlis Sambutan Hari Inovasi. Melalui beberapa siri perbincangan dengan Tn Hj Abdul Rahman b. Yusoff (Penanggung Pengarah JMG Pahang) dan Puan Hazan Maheran bt. Mohd (Ketua Pegawai, Makmal Kimiabumi Kuantan), beberapa acara telah dirancang. Antara acara itu ialah Pertandingan Mencipta Slogan Inovasi, Pertandingan Bilik Kemas, Bersih dan Ceria, Seloka Pantun, Deklamasi Sajak Inovasi, persembahan powerpoint dan tayangan video. 

Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi dibuka dengan bacaan doa oleh Tn. Hj Saad b.Samsudin. Lagu Negaraku dan Hari Inovasi berkumandang di ruang legar apabila semua kakitangan berdiri menyanyikannya bersama-sama dengan penuh bersemangat. Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar perkhidmatan awam yang dipimpin oleh para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 iaitu En. Mohamad Rosli b. Mat Min, En. Mohd Faizal B. Nasron, Pn. Wan Norizan bt. Wan Ab. Majid dan Pn Selamah bt. Ibrahim. Sebagai pembuka kata, En.Mazlan mengalu-alukan kehadiran semua kakitangan yang hadir. Beliau juga amat berbesar hati atas kesudian pihak makmal mengadakan majlis sambutan Hari Inovasi secara bersama. Beliau berharap majlis bersama seperti ini dapat diadakan di masa-masa hadapan. 

Puan Hazan telah diberi penghormatan untuk membaca teks perutusan Ketua Pengarah JMG Malaysia sempena sambutan Hari Inovasi. Semoga semua kakitangan memberi perhatian dan mengambil iktibar sewajarnya dari perutusan tersebut. Tuan Hj Abdul Rahman memberikan ucapan beliau dengan menyelitkan beberapa video menarik yang menonjolkan nilai dan kepentingan berfikiran berinovasi. Beliau mengajak semua kakitangan agar mengambil iktibar dari kelakuan burung-burung yang bermigrasi di mana dalam sesuatu organisasi adalah penting untuk bekerjasama dan tidak bersifat individualistik. 

Acara khas sempena Hari Inovasi dimulai dengan deklamasi sajak oleh En. Halimie b. Azhari @ Adnan. Sajak yang bertajuk Inovasi Berintegriti disampaikan dengan penuh bersemangat dan penghayatan oleh beliau. Sememangnya beliau berbakat bukan sahaja mencipta sajak tersebut malahan mendeklamasikannya dengan baik sekali. Acara sajak disusuli dengan seloka pantun inovasi oleh Puan Rosiah bt. Che Me, En. Shahizam b. Mohamed Shafie dan Puan Norazimawati bt Mad Sham. En Yusril A'mali b. Mohd Yusoff kemudian tampil ke pentas untuk menyampaikan persembahan powerpoint beliau yang berkisar tentang inovasi penggunaan kupel bagi teknik analisis fire assay untuk sampel kajian emas. Kemudian hadirin dihiburkan pula dengan tayangan video yang disediakan oleh Hj. Yusri b. Radzi dari Unit Pengurusan Maklumat. Video ini memaparkan pelbagai aktiviti kakitangan JMG Pahang dari dahulu sehingga kini.

Acara terakhir pada hari sambutan ialah upacara penyampaian hadiah dan anugerah. Keputusan pertandingan dan anugerah yang disampaikan adalah seperti berikut:

PERTANDINGAN MENCIPTA SLOGAN INOVASI 2012

 Tempat Pertama

"KREATIVITI DAN INOVATIF PEMACU PENINGKATAN KUALITI DAN PRODUKTIVITI"

Pencipta: En. Mazlan Mohamad Zain

Tempat Kedua

“MINDA BERINOVASI SUATU KOMODITI”

Pencipta: En. Zaki B. Alias

 Tempat Ketiga

“BUDAYA PEMIKIRAN KRITIS DAN KREATIF PENGGERAK INOVASI”

Pencipta: Norhaidai Binti Sehat 

PERTANDINGAN BILIK/ RUANG KERJA BERSIH, KEMAS DAN CERIA

Tempat pertama

En. Muhammad Rukhairul Nizam b. Rusdi

Tempat Kedua

En. Mohd Saiful Azhar b. Md Tahir

Tempat Ketiga

En. Zaki b. Alias

ANUGERAH PEKERJA CONTOH 2012

 JMG Pahang: En. Razeef Aizal b. Ali

 Makmal Kimiabumi Kuantan: En. Halimie bin Azhari @ Adnan

ANUGERAH INOVASI JMG PAHANG 2012

 En. Zaki b. Alias

Selain itu, pihak Kelab Sukan dan Kebajikan JMG Pahang (KESKEPA) telah menyampaikan hadiah perhargaan kepada kakitangan yang telah bertukar ke jabatan lain iaitu En. Muhammad Fauzi b. Jantan (Ketua Pembantu Tadbir) dan  En. Aduka Shah b. Manaf  (Pembantu Am Pejabat). Para hadirin disediakan jamuan makan tengahari dan majlis bersurai kira-kira jam 1.00 tengahari. Terima kasih kepada semua kakitangan yang menjayakan majlis sambutan Hari Inovasi 2012.