KERJA LAPANGAN DI LANGKAWI

KERJA LAPANGAN DI LANGKAWI

Seramai 42 orang Pegawai Penyelidik dan Pembantu Penyelidik, Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah membuat lawatan sambil belajar dan kerja lapangan di Langkawi, Kedah pada 24 – 26 November 2017.

Tujuan lawatan dan kerja lapangan ini diadakan ialah bagi memberi pendedahan kepada pegawai dan kakitangan baharu PPM mengenai pembentukan mineral dan batuan di Malaysia. Pengetahuan tentang mineral dan geosains ini amat penting, kerana ianya menjadi asas kepada aktiviti R&D mineral di PPM. Ahli rombongan telah dibawa dan melihat kejadian pembentukan ketiga-tiga jenis batuan yang terdapat di Langkawi iatu batuan igneus, sedimen dan metamorfik. Disamping itu juga mereka dibawa dan mengkaji pembentukan hot spring, kejadian sesar, retakan, proses luluhawa dan hakisan.
Sepanjang kerja lapangan, ahli rombongan PPM telah diberi taklimat dan tunjuk ajar oleh En Aminudin Bin Mahmud, Timbalan Pengarah, PPM.

Adalah diharapkan kerja lapangan ini memberi manfaat kepada pegawai dan kakitangan terlibat, lebih-lebih lagi bagi pembelajaran dan penggandaan ilmu staf baharu PPM.

MENGENALI GEOLOGI LANGKAWI

Langkawi merupakan sebuah kepulauan yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Langkawi mengandungi pelbagai daya tarikan yang berkaitan dengan sumber geologi dan landskap. Sebahagian daripadanya telah dibangunkan untuk aktiviti ekopelancongan. Walau bagaimanapun, masih banyak yang belum dikenali oleh masyarakat awam dan belum dimanfaatkan keseluruhannya. Daripada pandangan ahli geosains, sumber geologi (termasuk landskap) merupakan nilai warisan yang tinggi. Ianya mempunyai kepentingan awam, khususnya mempunyai maklumat mengenai asal-usul bumi, mempamerkan visual yang menarik dan luar biasa.

Kepulauan Langkawi merupakan bapa kepada bumi Malaysia. Di sinilah bermulanya pembetukan batu-batan yang membina negara kita. Kajian saintifik yang mandalam telah membolehkan ahli geosains membina semula sejarah pembentukan bumi Malaysia yang bermula sejak 550 juta tahun lampau (zaman Kambria) hingga 200 juta tahun (zaman Trias) hasil wujudnya singkapan batuan yang segar di sepanjang pantai kepulauan ini. Pelbagai rekod sejarah pembentukan batuan, daya tektonik yang mengubah bentuk batuan dan proses luaran yang mengukir landskapnya menjadikan Langkawi tapak penyelidikan dan pendidikan terpenting untuk mengenali asal-usul Bumi kita.

Kepulauan Langkawi terbentuk daripada pelbagai batuan iaitu siri batuan sedimen (sebahagiannya telah mengalami metomorfisme), rejahan batuan granit dan endapan aluvium dan persisiran yang muda. Batuan sedimen dibahagikan kepada beberapa formasi pembentukan, daripada yang tua ke muda iaitu Formasi Machinchang, Formasi Setul, Formasi Singa dan Formasi Chuping. Selepas pengendapan semua formasi batuan sedimen ini, batuan granit yang membeku daripada magma cair pula merejah dari perut bumi. Batuan granit ini mengangkat batuan sedimen di atasnya membentuk kepulauan Langkawi dengan taburan batuan yang unik dan menarik.