Kanak-kanak daripada Program APCC Fukuoka, Jepun memberi kemeriahan ketika lawatan di Galeri PPM

Kanak-kanak daripada Program APCC Fukuoka, Jepun memberi kemeriahan ketika lawatan di Galeri PPM

Keterujaan dan kemeriahan dapat dirasai apabila seramai 20 orang kanak-kanak dari Jepun yang berusia antara 10-18 tahun tiba di Galeri PPM, pada 27 Mac 2018 yang lalu melalui Program APCC Fukuoka yang sentiasa diadakan pada setiap tahun. Galeri PPM menjadi salah satu daripada senarai tempat-tempat menarik untuk dilawati oleh mereka sepanjang berada di Ipoh.

Ketibaan kanak-kanak tersebut bersama dengan beberapa orang pengirirng disambut oleh Dr Rashita Binti Abd Rashid, Ketua Cawangan Teknologi Bahan Termaju (CTBT), Pn Roshaida Binti Arbain, pegawai penyelidik dari Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral (CTPM) serta beberapa pembantu penyelidik yang teribat. Kata alu-aluan serta sedikit penerangan ringkas mengenai PPM disampaikan oleh Dr Rashita kepada mereka.

Kemudian, mereka semua diberi peluang untuk meneroka sendiri setiap ruang di seluruh galeri tersebut di samping bimbingan pihak PPM. Para pelawat kelihatan sangat gembira dan teruja melihat barang-barang pameran yang ada di sana sehingga mereka tidak henti-henti mengambil gambar. Mereka juga tidak segan untuk bersama-sama bergambar dengan pihak PPM secara peribadi. Keletah comel mereka membuatkan sesi lawatan pada pagi itu begitu ceria dan menarik. Ucapan “selamat pagi” serta “terima kasih” oleh mereka menambahkan lagi kemesraan dan kemanisan suasana pada ketika itu.

Walaupun lawatan tersebut ringkas dan sekejap sahaja, namun perasaan gembira dan puas hati dapat dirasai oleh kedua-dua belah pihak. Saguhati daripada PPM diberikan kepada pengiring mereka sebelum mereka bergerak ke destinasi seterusnya, iaitu ke Muzium Geologi. Pihak Majlis Bandaraya Ipoh yang menguruskan lawatan ini, mengucapkan jutaan terima kasih kepada PPM atas kerjasama yang diberikan bagi  lawatan kali ini.

PPM berharap melalui lawatan seperti ini, hubungan baik antara Bandaraya Ipoh dan Bandaraya Fukuoka terjalin dengan lebih erat pada masa akan datang.