LAWATAN DAN PERBINCANGAN TEKNIKAL SEKSYEN TEKNOLOGI BERASASKAN SILIKA (STBS)

Seramai tujuh (7) pegawai terdiri daripada tiga (3) pegawai penyelidik dan empat (4) pembantu penyelidik dari Seksyen Teknologi Berasaskan Silika (STBS) telah mengadakan lawatan dan perbincangan teknikal di tiga lokasi, iaitu:

a) Syarikat PUM Cullet Sdn. Bhd., Pasir Gudang, Johor

Satu lawatan ke Syarikat PUM Cullet Sdn. Bhd. telah diadakan pada 10 April 2013. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai proses penghasilan cullet menggunakan kaca kitar semula. Selain daripada itu, ia juga bertujuan mendapatkan cullet kitar semula dalam pelbagai saiz yang akan digunakan sebagai bahan utama dalam penyelidikan penghasilan jubin kaca dan konkrit lightweight.

 b) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh, Melaka

Satu lawatan ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan pada 11 April 2013. Program lawatan dan perbincangan teknikal di UTeM ini adalah untuk mendapatkan bantuan teknikal dalam penyelidikan yang sedang dilaksanakan oleh STBS terutama penyelidikan mengenai penghasilan jubin kaca menggunakan kaca kitar semula. Hasil perbincangan di antara dua pihak ini adalah cukup memberangsangkan dengan tawaran oleh pihak pensyarah UTeM untuk memberi latihan/syarahan secara teori berkaitan dengan jubin kaca kepada pegawai dan kakitangan STBS. Daripada perbincangan dua hala ini juga, didapati bahawa banyak ruang dan peluang yang boleh diterokai oleh kedua-dua pihak dalam memperkasakan lagi bidang penyelidikan di negara ini.

 c) MCIS Safety Glass Sdn. Bhd., Senawang, Negeri Sembilan

Lawatan ke Syarikat MCIS Safety Glass Sdn. Bhd. telah diadakan pada 12 April 2013.  Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan sisa kaca (glass waste) yang dihasilkan melalui proses penghasilan safety glass untuk diaplikasikan sebagai cermin kenderaan. Bahan mula untuk penghasilan safety glass ini ialah kaca kepingan (sheet glass) yang diperolehi dari Syarikat Malaysian Sheet Glass (MSG) Sdn. Bhd., Sungai Buloh, Selangor. Selain daripada pengambilan sampel sisa kaca, wakil syarikat juga telah membawa para peserta meninjau proses penghasilan cermin kenderaan bermula daripada proses pemotongan kaca, proses pembajaan (tempering) dan proses pematerian (soldering) bagi cermin bahagian belakang kenderaan.