LAWATAN KERJA KE MUZIUM PERLOMBONGAN BIJIH TIMAH KINTA DAN KAPAL KOREK TANJUNG TUALANG (TT5)

 LAWATAN KERJA KE MUZIUM PERLOMBONGAN BIJIH TIMAH KINTA DAN KAPAL KOREK TANJUNG TUALANG (TT5)

Pada 1 November 2017, Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah mengadakan satu lawatan kerja ke Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta dan Kapal Korek Tanjung Tualang. Lawatan ini telah dianjurkan oleh PPM dengan kerjasama Unit Latihan, Cawangan Pelaksana Pengkormesialan (CPP). Seramai 25 orang pegawai dan pembantu penyelidik telah menyertai lawatan ini. Lawatan kerja ini diketuai oleh En Aminudin bin Mahmud, Pegawai Latihan, PPM.

Destinasi lawatan yang pertama adalah ke Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta di Kampar, Perak. Muzium ini memfokuskan kaedah melombong bijih timah secara pam kelikir. Pengunjung didedahkan dengan panorama perlombongan bijih timah dilengkapi dengan palong untuk memberi pemahaman mengenai kerja-kerja perlombongan. Foto-foto dan statistik perubahan harga timah dunia menunjukkan trend perindustrian bijih timah di Malaysia yang pernah menjadi pengeksport terbesar bijih timah pada masa dahulu. Selain itu, muzium ini juga dipenuhi dengan dokumen dan persuratan mengenai perjanjian perlombongan bijih timah dan perjanjian perdamaian dahulu.

Destinasi kedua program lawatan ini ialah Kapal Korek Tanjung Tualang (TT5) yang terletak di Tanjung Tualang. TT5 merupakan gelaran kepada warisan kapal korek terakhir yang masih ada di Malaysia. Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dipertanggungjawabkan  memulihara semula kawasan bersejarah itu supaya ia terus menjadi warisan negeri Perak. Kapal korek seberat 4,500 tan ini dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu bahagian mengumpul atau mengorek bahan galian dan bahagian pengasingan bijih timah.

Komponen utama dalam kapal korek ini adalah pengaut (bucket) yang dipasang di atas tangga untuk membawa hasil kautan tanah ke tempat pemprosesan bijih timah. Sejumlah 115 pengaut dikawal oleh motor yang akan menggerakkan pengaut tersebut seperti roda. Tanah yang mengandungi bijih timah dibawa ke trommel screen yang akan mengasingkan bijih dari tanah dengan pancutan air. Bijih yang berat akan jatuh dari trommel screen ke dalam jig pemisah yang akan memproses bijih sebelum disimpan dalam tempat penyimpanan. Batu-batu besar yang  tidak melepasi tapisan  dan tanah yang tidak diperlukan dibuang melalui pelongsor yang terletak di belakang kapal korek.

Lawatan kerja ini memberi pengetahuan mengenai teknik, peralatan, mesin, dan teknologi yang digunakan dalam perusahaan perlombongan bijih timah di Malaysia. Semoga warisan ini akan terus dipelihara untuk generasi akan datang.