Lawatan Teknikal ke Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd

Lawatan Teknikal ke Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd

11 April 2016    -    Satu lawatan ke Vale Minerals Sdn Bhd telah diadakan yang terletak di Teluk Rubiah, Lumut, Perak. Lawatan ini adalah bertujuan untuk melihat dan mempelajari dengan lebih dekat operasi Vale Iron Ore Distribution Centre, Lumut atau dikenali sebagai Teluk Rubiah Maritime Terminal (TRMT) untuk dijadikan sebagai panduan bagi penyediaan garispaduan dan SOP operasi pengimportan dan pengeksportan bahan secara pukal terutama untuk bijih bauksit di Kuantan. Lawatan ini diketuai oleh Dr Shamsul Kamal Sulaiman dari Pusat Penyelidikan Mineral. Seramai 13 pegawai mengikuti lawatan ini yang terdiri dari 8 pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains, seorang pegawai dari Lembaga Pelabuhan Kuantan dan 4 pegawai dari Kuantan Port Consortium.

Syarikat Vale berasal dari Brazil telah memulakan operasi mereka di Teluk Rubiah sejak dari tahun 2014 lagi, namun pembinaan fasiliti telah bermula dari tahun 2011 dengan kos pelaburan mencecah sehingga USD 1.37 billion. Dengan terbinanya fasiliti ini, mereka menganggarkan masa pengedaran bijih besi daripada Brazil ke negara-negara Asia Tenggara dan China dapat dipendekkan selama 25 hari dan ini dapat menjimatkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti dengan mengurangkan masa penghantaran bijih besi kepada pelanggan-pelanggan mereka. Fasiliti ini mempunyai kapasiti simpanan bijih besi sehingga 2.5 juta tan pada satu-satu masa. Sebanyak 96 % daripada tenaga kerja syarikat ini adalah pekerja tempatan.