Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Pusat Penyelidikan Mineral 2016

Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Pusat Penyelidikan Mineral 2016

Setiap tahun negara kita akan mengadakan sambutan hari kemerdekaan negara bagi mengingati detik bersejarah yang amat berharga kepada semua rakyat Malaysia.  Bersempena dengan hari kemerdekaan negara, AJK Sambutan Kemerdekaan Peringkat PPM telah mengadakan beberapa aktiviti bagi menyemarakkan lagi Sambutan Kemerdekaan kali ke 59 pada tahun 2016 ini.  Bermula 29 Ogos 2016, AJK Sambutan Kemerdekaan telah mengadakan aktiviti-aktiviti Kibaran Jalur Gemilang di Dataran PPM, senamrobik dan Jejak Merdeka.  Manakala acara mendeklamasi sajak Kemerdekaan dan Tayangan Video ‘MALAYSIA #sehatisejiwa’ telah diadakan pada 30 Ogos 2016 semasa Perhimpunanan Bulanan Pusat Penyelidikan Mineral.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotik dan cinta akan negara di kalangan warga Pusat Penyelidikan Mineral.  Selain itu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan yang melibatkan semua kakitangan tanpa mengira bangsa juga telah dapat mengeratkan lagi perpaduan kaum di PPM.

Melalui aktiviti Jejak Merdeka, warga PPM telah dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara kerana soalan-soalan yang perlu dijawab adalah berkaitan dengan kemerdekaan negara dan juga pejuang-pejuang kemerdekaan. Jasa mereka patut dikenang kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Dengan cara itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila dan sentiasa berusaha memelihara keamanan dan kemakmuran negara agar berkekalan. Bersyukurlah dan berterima kasih kepada pejuang-pejuang kemerdekaan negara dan pemimpin-pemimpin kita yang berjaya menjadikan negara kita Malaysia sebagai sebuah negara maju, aman dan makmur. Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia pada tanggal 31 Ogos 2016. MALAYSIA #sehatisejiwa.