Majlis Tandatangan Perjanjian Kerjasama Pintar antara Northern Dolomite Sdn Bhd dan PPM, JMG

Majlis Tandatangan Perjanjian Kerjasama Pintar antara Northern Dolomite Sdn Bhd dan PPM, JMG

Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 29 April 2019. Menteri Besar Perlis yang telah diwakili oleh YB Tuan Teh Chai Aan iaitu Exco Sumber Asli dan Alam Sekitar telah hadir bersama dengan YBHG. Datuk Hj. Shahar Effendi Bin Abdullah Azizi, Ketua Pengarah JMG serta rombongan dalam Majlis Tandatangan Perjanjian Kerjasama Pintar antara Northern Dolomite Sdn Bhd dan PPM yang telah diadakan pada 29 April 2019 bertempat di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis.

Dalam kerjasama ini, PPM akan menyediakan kepakaran dan teknologi bagi mengoptimumkan penggunaan sisa bahan dan sampingan industri pengkuarian dolomit bagi menghasilkan produk iaitu marmar sintetik yang kompetitif dan setanding dengan produk komersial menggunakan bahan import.

Sebelum ini, pihak PPM telah mengadakan satu lawatan ke Syarikat Northern Dolomite Sdn Bhd pada 13 Mac yang lalu dan lawatan balas oleh syarikat tersebut ke PPM pada 1 April yang lalu. Melalui perbincangan tersebut, pihak Northern Dolomite Sdn Bhd telah menyuarakan minat untuk menambahnilai produk dolomit di kuari mereka dengan menghasilkan marmar sintetik. Perbincangan ini telah memberi idea kepada kedua-dua belah pihak untuk mengadakan kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada PPM serta syarikat tersebut.

Ketua Pengarah JMG sempat menyuarakan harapan beliau di akhir ucapan perasmian agar kerjasama ini dapat membuahkan hasil dan memberi impak dalam kemajuan ekonomi Malaysia khususnya Negeri Perlis.

Sekalung tahniah diucapkan kepada PPM atas kejayaan kali ini. Mudah-mudahan PPM dapat menjalinkan kerjasama dengan pihak luar secara lebih meluas pada masa akan datang.