Pembentangan dan Pameran PPM di Seminar Hala Tuju Industri Mineral Negeri Kelantan

Pembentangan dan Pameran PPM di Seminar Hala Tuju Industri Mineral Negeri Kelantan

Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah dijemput untuk mengadakan pameran bersempena dengan Seminar Hala Tuju Industri Mineral Negeri Kelantan yang telah diadakan pada 7 April 2019 yang lalu. Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob telah hadir merasmikan seminar ini yang dianjurkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan.

Dalam seminar ini, sebanyak 4 kertas kerja telah dibentangkan iaitu dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Jabatan Mineral Dan Geosains Negeri Kelantan (JMG), Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan (JAS) dan Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (PPM-JMG). En Aminudin bin Mahmud, Timbalan Pengarah PPM telah membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk Mencipta Nilai Melalui R&D : Pengalaman Pusat Penyelidikan Mineral. Para peserta seminar yang terdiri daripada pegawai awam dan pihak industri yang terlibat dalam bidang industri mineral di seluruh negeri Kelantan berpeluang mendapat banyak ilmu yang bermanfaat daripada panel pembentang pada hari tersebut.

PPM juga mengadakan pameran terbuka bersama-sama dengan pihak UMP dan JAS di ruang pameran bagi memeriahkan lagi program pada hari tersebut. Menteri Besar Kelantan juga turut melawat pameran yang disediakan ini untuk melihat hasil penyelidikan R&D Mineral yang telah dijalankan di PPM. En. Aminudin bin Mahmud telah memberikan penerangan berkaitan penyelidikan R&D Mineral di PPM dan perkhidmatan Ujian Batu Dimensi dan Ujian Pemprosesan Mineral yang telah mendapat pengiktirafan MS ISO 9001:2015 kepada YAB MB Kelantan.

PPM berbesar hati kerana telah diberikan peluang keemasan ini untuk turut serta dalam Seminar Hala Tuju Industri Mineral Negeri Kelantan. Sesungguhnya program seumpama ini amat penting dalam mengembangkan kerjasama dan memaknakan peranan PPM dengan agensi luar dengan lebih meluas dan secara tidak langsung akan dapat memajukan dan meningkatkan imej jabatan pada masa akan datang.