PPM berjaya dalam pensijilan semula MS ISO 9001:2015

PPM berjaya dalam pensijilan semula MS ISO 9001:2015

Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Ipoh - 16 November 2018. Tahniah diucapkan kepada PPM atas kejayaan yang amat bermakna apabila SPK MS ISO 9001:2015 PPM-JMG telah berjaya dalam pensijilan semula untuk 3 tahun yang akan datang. Audit yang dijalankan pada 14-16 November 2018 tersebut melibatkan ketua auditor SIRIM QAS iaitu Puan Meena Ragawan, serta pasukan ISO PPM.

PPM sebelum ini telah menjalani migrasi daripada MS ISO 9001:2008 kepada versi baru MS ISO 9001:2015 serta penambahan skop daripada Ujian Pemprosesan Bijih Timah (UPBT) kepada Ujian Pemprosesan Mineral (UPM) iaitu melibatkan bijih timah, bijih besi, bijih emas dan pasir silika. PPM mula menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2008 dari SIRIM pada Disember 2012 untuk skop Ujian Batu Dimensi (UBD), dan ditambah pula dengan kejayaan pensijilan semula MS ISO 9001:2015 pada tahun ini.

PPM juga mendapat pujian daripada pihak SIRIM QAS, kerana prestasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua warga PPM sepanjang proses audit berjalan. Auditee PPM telah berjaya menjalani sesi audit tersebut dengan tenang dan teratur serta memahami apa itu ISO dan kaitannya dengan skop kerja di PPM. Selain itu, sesi audit pada kali ini juga lebih santai dan berjalan dengan sangat lancar tanpa ada sebarang masalah yang menjejaskan pensijilan semula MS ISO 9001:2015. PPM dan auditee keseluruhannya lebih bersedia pada tahun ini.

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan ISO PPM serta seluruh warga PPM kerana telah berjaya berganding bahu sepanjang audit ini berlangsung.

Semoga kejayaan manis ini dapat dijadikan semangat untuk seluruh warga PPM agar terus komited dalam memajukan lagi PPM pada masa akan datang.