PPM Mengambil Bahagian Dalam Pameran Minggu Sains SMK Methodist, Ipoh.

PPM Mengambil Bahagian Dalam Pameran Minggu Sains SMK Methodist, Ipoh.

Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 5 Mac 2019. PPM telah dijemput untuk mengadakan pameran bersempena dengan Minggu Sains yang diadakan di SMK Methodist (ACS) Ipoh pada 5 Mac 2019. Pameran tersebut adalah bertujuan untuk memberi pendedahan tentang sejarah perlombongan yang pernah dijalankan di Tanah Melayu sejak ratusan tahun yang lalu serta bagi memupuk minat para pelajar dalam bidang-bidang R&D Mineral.

Suasana yang begitu meriah dapat dirasai ketika para pelajar mula memenuhi ruang pameran. Pelbagai sesi soal jawab serta penerangan menarik telah dikongsikan kepada semua pelajar, malah mereka juga diberi peluang untuk merasai pengalaman mendulang bijih timah di samping tunjuk ajar daripada beberapa petugas PPM.

Tuan Pengetua dan para guru telah meluangkan masa untuk berkunjung di pameran tersebut, di samping mendengar penerangan berkenaan bidang R&D Mineral yang dijalankan di PPM.

Para pelajar telah dibahagikan masa mengikut tingkatan untuk berkunjung ke ruang pameran agar semuanya teratur dan berjalan dengan lancar. Para guru juga telah memberikan kerjasama yang baik dalam pengurusan pelajar-pelajar serta menyediakan minum pagi dan makan tengahari kepada para petugas PPM.

Di akhir pameran, Pengetua SMK Methodist mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPM kerana telah sudi untuk mengadakan pameran di sana. Beliau juga telah memberi pujian terhadap hasil-hasil penyelidikan daripada PPM dan berharap agar dapat mengadakan lawatan sambil belajar ke PPM pada masa akan datang.

Adalah diharapkan agar program seperti ini dapat memberi pendedahan berguna kepada pelajar dan masyarakat setempat.