Lawatan Pelajar-Pelajar Jurusan Kejuruteraan Kimia dari University of Nottingham ke PPM

Lawatan Pelajar-Pelajar Jurusan Kejuruteraan Kimia dari University of Nottingham ke PPM

Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – Satu lawatan pelajar-pelajar jurusan Kejuruteraan Kimia dari University of Nottingham telah diadakan di Galeri PPM pada 4 April yang lalu. Lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mereka tentang kerja-kerja penyelidikan R&D Mineral yang dijalankan di PPM.

Lawatan telah dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada Pn Marlinda Binti Daud, Pegawai Penyelidik daripada Cawangan Pelaksana Pengkomersialan (CPP), dan diteruskan dengan tayangan video berkaitan dengan sejarah penubuhan PPM serta kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan di sini sebagai pengenalan kepada mereka.

Kemudian, para pelajar diberi peluang untuk meneroka ruangan Galeri di samping menghayati penerangan yang disampaikan oleh para pegawai yang pakar dalam setiap bidang penyelidikan di sana. Mereka juga sempat berkunjung ke tiga buah makmal di PPM, iaitu makmal Cawangan Teknologi Berasaskan Lempung (CTBL), makmal Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral (CTPM), dan makmal Cawangan Teknologi Berasaskan Batuan (CTBB). Melalui lawatan ini, pelajar-pelajar dapat melihat sendiri demonstrasi beberapa peralatan yang digunakan semasa proses-proses penyelidikan R&D Mineral dijalankan.

Lawatan berakhir dengan ucapan ribuan terima kasih daripada pihak University of Nottingham kepada PPM atas sesi lawatan yang begitu menarik dan bermanfaat. Lawatan ini telah memberi pengalaman yang berharga kepada mereka dalam menimba ilmu.

Tahniah diucapkan kepada warga PPM atas kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan lawatan ini. Mudah-mudahan aktiviti seperti ini dapat memupuk minat para pelajar untuk menceburi bidang R&D Mineral dengan lebih meluas.