Berita & Artikel

jommelancong.com

Letupan, gegaran bukan daripada aktiviti kuari – JMG Perak

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak mengesahkan bunyi letupan dan gegaran yang dilaporkan berlaku kira-kira 10.30 pagi tadi bukan disebabkan oleh aktiviti letupan kuari.

Pengarah JMG Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, aktiviti itu hanya boleh dilaksanakan bermula jam 12 tengah hari sehingga 5 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.

“Berhubung kejadian gegaran yang dilaporkan berlaku sekitar 10.30 pagi tadi, hasil semakan JMG Perak menunjukkan tiada aktiviti letupan kuari yang berlaku sekitar waktu itu.

“Aktiviti letupan kuari tidak dibenarkan dilaksanakan di luar waktu itu,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan orang ramai mengenai bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar daerah Ipoh pagi tadi.

Abang Zainal Abidin ketika dihubungi Bernama berkata, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya menerima maklumat atau laporan mengenai kejadian berkenaan.

Pada 21 Oktober tahun lepas, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya itu antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput kira-kira jam 11.06 pagi yang disusuli dengan bunyi dentuman kuat. – Bernama

NRES telah dianugerahkan Sijil Penghargaan atas kejayaan melaksanakan Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), yang diadakan bersempena Majlis Penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024. Foto nresmalaysia (Instagram)

NRES terima anugerah projek RKB, percepat kelulusan lesen mineral

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berjaya mempercepat proses kelulusan Lesen Mineral (Tanpa Premis Penyimpanan) dari 61 hari kepada hanya tujuh hari menerusi projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB).

NRES dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan reformasi itu mampu mengurangkan kos pematuhan syarikat pedagang mineral hingga 20 peratus, sekali gus meningkatkan perdagangan dalam dan luar negara serta menjana hasil kerajaan yang dianggarkan RM1.3 juta setahun.

“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan NRES bagi menyokong kelancaran operasi industri dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Sebagai pengiktirafan atas kejayaan itu, JMG menerima sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo a/l Kim pada 10 April lepas.

Projek RKB itu merupakan inisiatif di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh KSN, bertujuan mempercepat pelaksanaan peraturan serta mengurangkan kos pematuhan kepada perniagaan dan rakyat.

Langkah itu juga sejajar dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030 dan hasrat Malaysia MADANI untuk meningkatkan kecekapan kerajaan, produktiviti serta kesejahteraan rakyat.

Ia turut mempercepat urusan pentadbiran, memperkukuh daya saing industri dan menyokong eksport mineral secara mampan. – TVS

Peneraju Pembangunan
Mineral dan Geosains Negara