Sesi Lawatan dan Perbincangan Kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang dan Jabatan Mineral dan Geosains Pahang

Sesi Lawatan dan Perbincangan Kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang dan Jabatan Mineral dan Geosains Pahang

Sesi lawatan dan perbincangan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Jabatan Mineral dan Geosains Pahang (JMG Pahang) telah diadakan pada tarikh 24 Julai 2018 di Bilik Mesyuarat Nilam JMG Pahang, pada pukul 9.30 pagi. Ini merupakan susulan dari Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UMP dan JMG Malaysia yang telah ditandatangani di Hotel Zenith Kuantan, Pahang sempena Persidangan Malaysia Chamber of Mines (MCoM) pada 4 Disember 2017 oleh Pengurusan Tertinggi JMG Malaysia dan UMP. Sesi perbincangan ini diadakan bagi membincangkan dan menyemak kerjasama dan dokumen-dokumen perjanjian persefahaman tersebut yang dirancang akan dibentuk dan dibentangkan bersama oleh pihak UMP dan JMG Malaysia khususnya.

Delegasi rombongan dari UMP diketuai oleh Dr. Mohd Yusri bin Yunus dan turut disertai oleh Dr. Mohd Shaiful Zaidi bin Mat Desa, Dr. Suriati binti Ghazali, Dr. Azizan bin Ramli dan Puan Siti Noraishah binti Ismail. Kesemua mereka merupakan Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraa Kimia dan Sumber Asli, UMP. Pengarah JMG Pahang, Datoโ€™ Ir. Azman bin Ab. Majid bertindak sebagai Pengerusi sesi perbincangan dan turut dihadiri bersama oleh En Mohamed Hizam bin Abd Kadir, Ketua Unit Lombong dan Kuari, En Mohammad Aznawi bin Hj Mat Awan, Ketua Unit Pengurusan maklumat serta En Zaki bin Alias selaku Pegawai Geosains, Unit Sumber Mineral JMG Pahang

Pembentangan dibuat oleh Dr. Mohd Shaiful Zaidi bin Mat Desa. Antara objektif pembentangan yang dibuat termasuk :

  1. Promosi dan potensi kerjasama antara UMP dan JMG Malaysia berkenaan program peringkat sarjana yang baru dilancarkan oleh pihak UMP, iaitu MSC Mining with Mineral Technology (MMT) yang dijangka akan ditawarkan pada September 2018.
  2. Pembentukan Jawatankuasa Pemandu berkaitan MoU yang telah ditandatangani antara UMP dan JMG Malaysia pada 4 Disember 2017. Antara dokumen asal yang termaktub dalam MoU termasuklah kolaborasi kerjasama dalam bidang akademik dan program penyelidikan, pembangunan penerbitan saintifik dan ilmiah, pertukaran kakitangan dan pegawai, penyertaan dan pembentangan seminar dan bengkel berkaitan industri perlombongan, mineral dan geosains secara khusus.

UMP1

Antara isu-isu dan perbincangan yang dibangkitkan berkenaan program MMT ialah berkaitan kursus-kursus dan subjek yang akan dimasukkan dalam program MMT, termasuk tempoh masa, tenaga pengajar dan pemudah cara yang boleh dipertimbangkan untuk cadangan. Berkaitan MoU, antara lain perbincangan ialah berkenaan hala tuju dan cadangan isi kandungan sertta pembentukan Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) bagi perlaksanaan cadangan yang diutarakan.

Sesi perbincangan dan semakan draf dokumen ini ditangguhkan pada pukul 12.45 tengahari oleh Datoโ€™ Pengarah JMG Pahang dengan ucapan penghargaan dan terima kasih beliau atas kerjasama dan buah fikiran yang telah diberikan sepanjang sesi perbincangan ini berlangsung. Beliau juga mencadangkan perbincangan susulan dibuat dari masa ke semasa antara pihak UMP dan JMG Malaysia serta JMG Pahang bagi memastikan program MMT serta MoU ini dapat digerakkan dengan lebih baik dan berkesan.

Kedua-dua pihak JMG Pahang dan UMP selanjutnya bertukar-tukar cenderamata kenangan dan membuat sesi bergambar sempena sesi perbincangan ini berlangsung.

UMP2

Diharapkan sesi perbincangan bersama UMP dan JMG Malaysia berkaitan perkembangan dan perkongsian akademik dan ilmiah bidang perlombongan, mineral dan geosains ini dapat memberikan impak percambahan ilmu, pengedaran maklumat dan manfaat pengetahuan spesifik kepada umum. Semoga program MMT dan MoU ini dapat diperhalusi dengan lebih baik, dilancarkan dan digunapakai bagi merangka dan merancang pembangunan ilmu dan akademik mapan dan lestari di Pahang secara khususnya dan Malaysia secara amnya.

JMG Pahang juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kerjasama pihak UMP bagi sesi lawatan dan perbincangan ini. Semoga kerjasama dan usahasama ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Keterangan lanjut kursus boleh dirujuk melalui laman web  http://fkksa.ump.edu.my/index.php/en/

Written by : aznawi