Latihan Analisis Kandungan Mineral (QME)

Latihan Analisis Kandungan Mineral (QME)
Ipoh, 26–28 Februari 2025 – Pasukan pelaksana MS ISO 9001 dari Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah menjalani Latihan Analisis Kandungan Mineral (QME) di Unit Petrologi & Mineralogi, Cawangan Geosains, Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (BPT-JMG) selama tiga hari. Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai serta kakitangan dalam analisis kandungan mineral serta memberi pendedahan terhadap teknik analisis yang digunakan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan berdasarkan di PPM. Seramai 17 kakitangan PPM telah menyertai latihan ini bersama 10 kakitangan BPT yang berperanan sebagai tenaga pengajar dan fasilitator.
Sepanjang latihan, peserta telah didedahkan kepada jenis-jenis mineral yang terdapat di dunia, kaedah mengenal pasti dan membezakan mineral serta batuan, serta enam (6) proses utama dalam analisis QME, iaitu penerimaan sampel, proses mendulang, pengayakan sampel, penimbangan sampel, ujian pemisahan terapung dan tenggelam, pengasingan magnet serta identifikasi mineral di bawah mikroskop.
Selain itu, peserta juga telah mempelajari teknik mendulang yang betul serta kaedah mengenal pasti mineral dengan lebih tepat, khususnya dalam menjalankan analisis QME. Latihan ini turut memberikan pemahaman asas geologi, mineral, dan batuan yang terdapat di Malaysia, sekaligus memperkukuh pengetahuan peserta dalam bidang ini.
PPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kakitangan dari Unit Mineralogi & Petrologi yang telah berkongsi ilmu dan kepakaran sepanjang sesi latihan ini.