IPOH, 27 – 28 Februari – Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia telah melakukan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (PPM-JMG).
Lawatan ini bertujuan melihat secara fizikal harta intelek yang dibangunkan sekaligus menjalankan kerja-kerja pengumpulan data bagi penilaian harta intelek terlibat.
Delegasi seramai 8 orang ini diketuai oleh Sr. Fung Cheng Loong, Penilai Daerah JPPH Klang.
Untuk rekod, penilaian harta intelek milik PPM-JMG oleh JPPH telah memasuki fasa ketiga di mana penilaian fasa pertama telah dijalankan pada tahun 2021 untuk 9 harta intelek. Manakala fasa kedua pada tahun 2023 pula melibatkan penilaian ke atas 8 harta intelek.
Pada sebelah pagi diadakan sesi pembentangan harta intelek yang telah berjaya disijilkan. Pembentangan ini telah disampaikan oleh pegawai-pegawai penyelidik selaku pencipta bagi inovasi ini manakala penilaian fizikal di makmal-makmal telah dijalankan pada sebelah petang hari pertama dan juga pada pagi hari kedua.
Sebanyak 7 harta intelek dinilai pada kali ini terdiri daripada 2 paten, 2 perbaharuan utiliti dan 3 hakcipta. Harta-harta intelek ini perlu dibuat penilaian bagi maksud perakaunan akruan dan secara tak langsung bagi menentukan nilai aset tak ketara ini.