
IPOH, 26 Februari 2025 – Unit Geologi Marin, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan ujilari peralatan survei geofizik di Tasik Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh.
Ujilari ini bertujuan menilai ketepatan peralatan survei hidrografi termasuk sistem batimetri dan side scan sonar serta menguji keberkesanan peralatan seismik dalam mengenal pasti struktur bawah permukaan tasik. Selain itu, data yang dikumpul akan dianalisis untuk pemetaan dan pemantauan keadaan dasar tasik bagi memastikan kesesuaian data yang diperoleh untuk tujuan penyelidikan serta pembangunan kawasan rekreasi ini.
Sebagai persediaan, ujian awal ke atas peralatan telah dilakukan seminggu sebelum operasi di No. 4, BPT, Ipoh bagi memastikan semua peralatan berada dalam keadaan optimum. Survei di Tasik Gunung Lang diketuai oleh En. Noran Alwakhir Shaarani dan En. Muhamad Safid Saad dengan penglibatan semua kakitangan Unit Geologi Marin. Survei ini juga berfungsi sebagai medan latihan penting bagi meningkatkan kemahiran teknikal kakitangan Unit Geologi Marin, JMG dalam menjalankan survei marin.
Turut serta dalam survei ini ialah Pengarah Cawangan Geosains, Bahagian Perkhidmatan Teknikal, En. Ahmad Zulkifli bin Kamaruzaman, yang hadir bagi memberikan sokongan, pandangan dan idea untuk melancarkan perjalanan projek ini.
Kejayaan ujilari ini membuktikan komitmen JMG dalam memperkukuh kepakaran serta mengadaptasi teknologi terkini. Inisiatif seperti ini akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan teknikal, memperluas perkongsian ilmu serta memantapkan penggunaan teknologi demi kepentingan negara.
JMG juga merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Ipoh selaku tuan rumah atas kerjasama erat dalam pelaksanaan projek ini khususnya dalam penyediaan kemudahan bot. Data survei yang diperoleh akan menjadi rujukan penting bagi kawasan Tasik Taman Rekreasi Gunung Lang serta berpotensi dijadikan projek rintis (pilot project) untuk diperluaskan ke kawasan geopark lain pada masa akan datang.