KENYIR GEOPARK

KENYIR GEOPARK

Kenyir Geopark dengan keluasan 2,449 kilometer persegi meliputi sebahagian daerah Hulu Terengganu dengan bilangan penduduk seramai 16,119 orang yang dibentuk oleh pelbagai jenis batuan, mineral, struktur, landskap dan fitur geologi unik hasil daripada proses geologi yang berlaku kira-kira 360 juta tahun yang lalu. Geopark ini mengandungi 15 geotapak (1 bertaraf antarabangsa, 2 bertaraf kebangsaan dan 12 bertaraf tempatan), 10 biotapak,11 tapak budaya dan 1 tapak geoarkeologi. Antara nilai utama yang menjadi kebanggaan Terengganu adalah ciri-ciri utama morfologi karst Bukit Bewah yang wujud di atas tasik yang berwarna kehijauan yang memberikan nilai estetika yang tinggi. Kewujudan pelbagai jenis fosil marin terutama Shikamaia Sp. (kerang gergasi) berusia 250 juta tahun di dinding batu kapur ini juga memberi nilai tambah kepada Bukit Bewah. Penemuan kerangka manusia pra-sejarah berusia 16,000 tahun menjadikan Bukit Bewah sebagai geotapak bertaraf antarabangsa di samping penemuan fosil kesan tapak kaki dinosaur dan fosil tumbuhan di Gunung Gagau. Penemuan beberapa spesies flora dan fauna endemik seperti Thismia terengganuensis (flora), Kenyirus sodhii (siput) beserta penemuan artifak arkeologi seperti Batu Bersurat Terengganu menjadi komponen sumber asli penting dalam penubuhan Geopark.

Written by : tarmizi