Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub SMK Senibong, Lundu, Sarawak

Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub SMK Senibong, Lundu, Sarawak

LUNDU 7 April 2018 – Majlis perasmian dan penyerahan sistem telaga tiub SMK Senibong telah diadakan di sini baru-baru ini. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Ranum anak Mina, ADUN N1 Opar. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Sumber Asli) NRE, Dato’ Hj Suhaimi Hj Mamat; Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Datuk Shahar Effendi bin Abdullah Azizi; Pengarah JMG Sarawak, Encik Enggong Aji; Pengarah JMG Negeri Sembilan/Melaka, Encik Joanes Muda; Timbalan Pengarah PPO, Encik Nizarulikram Abdul Rahim; Wakil Pengarah JMG Terengganu, Encik Razaidi Shah, ketua-ketua masyarakat, guru-guru dan murid-murid SMK Senibong.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Ranum melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada JMG Sarawak khasnya dan JMG Malaysia kerana di atas usaha JMG, masalah bekalan air terputus-putus yang sedang melanda sekolah tersebut telah dapat diatasi. SMK Senibong mempunyai 446 orang murid di mana 226 murid menginap di asrama sekolah tersebut. Semasa acara perasmian tersebut, bekalan air bersih telah terputus sejak 9 hari yang lalu. Dengan adanya bekalan air bersih daripada sistem air tanah yang dibangunkan oleh JMG, maka masalah bekalan air di sekolah tersebut telah dapat diatasi.

Ketua Pengarah JMG turut melahirkan rasa syukur dan bangga di atas kejayaan tersebut. Beliau turut berpesan kepada semua murid dan para guru agar dapat menjaga dan menyelenggara sistem bekalan air tanah tersebut dengan baik berpandukan kepada manual penyelenggaraan yang telah diserahkan kepada wakil Pengetua SMK Senibong.

Dengan kejayaan pembinaan sistem bekalan air tanah sebagai sumber air bersih di SMK Senibong, sekali lagi menunjukkan bahawa sumber air bersih daripada sumber air tanah merupakan sumber alternatif yang terbaik di kawasan yang menghadapi masalah bekalan air dari sumber air permukaan.

Written by : nizar