Satu lawatan ke Johor sempena program kembara bersama media kali ke 7 dan 8 telah diadakan pada 13 Oktober yang lepas. Peserta program terdiri daripada wakil jabatan-jabatan di bawah NRE dan beberapa wakil media seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia. Jabatan Mineral dan Geosains Johor sebagai hos (tuan rumah) pada kali ini telah memilih Tapak Warisan Geologi Kebangsaan Tanjung Balau sebagai tempat lawatan.
Lawatan dimulakan dengan mengunjungi Pantai Batu Layar yang terletak di bahagian selatan kira-kira dua puluh minit perjalanan dari Bandar Penawar. Batu Layar mendapat namanya dari struktur batuan unik yang menyerupai layar kapal yang tegak berdiri secara beriringan di pantainya. Keadaan ini terhasil daripada lapisan batuan Formasi Mersing yang telah tercangga beberapa kali sehingga menjadi tegak. Proses hakisan dan luluhawa yang aktif menyebabkan lapisan yang secara relatifnya lebih lembut akan hilang dan meninggalkan lapisan yang lebih keras serta membentuk kepingan menegak yang ada sekarang. Keindahan pantai dan struktur geologi yang unik ini merupakan kombinasi yang menawarkan lebih dari percutian di tepi pantai. Keunikannya juga menjadi tumpuan peminat seni fotografi dan jurugambar bebas terutama sebagai latar belakang untuk pasangan pengantin.
Lawatan di akhiri dengan para peserta di bawa melihat singkapan batu pantai (beach rock) yang mempunyai fitur menarik lagi unik. Singkapan batu pantai ini berada lebih kurang seratus meter ke selatan dari jeti Tanjung Balau dan berada betul-betul di atas paras pasang penuh. Setelah di buat penentuan usia secara usia karbon (carbon dating), usianya sangat muda berbanding Formasi Mersing iaitu 2,600 tahun B.P. (Before Present – sebelum tahun1950). Keunikan batu pantai ini terletak pada jalur-jalur selari yang terdapat pada permukaan batuan. Jalur-jalur ini merupakan Fitur Tegasan Angin yang terbentuk akibat tiupan angin yang kuat dan cuaca yang panas serta kering. Fitur Tegasan Angin ini menunjukkan bahawa pada 2,600 B.P. tahun yang lalu kawasan Tanjung Balau ini telah dilanda angin yang sangat kuat (ribut?) dan pada masa yang sama mengalami cuaca yang panas dan kering. Walaupun batu pantai boleh dijumpai sepanjang pantai Tenggara Johor namun yang mempunyai fitur tegasan angin hanya terdapat di Tanjung Balau dan mungkin satu-satunya di Malaysia