Pada 12 hingga 14 November 2024, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menganjurkan Bengkel Spesifikasi Keperluan Bisnes (BRS) 2 bagi perkhidmatan pemerkasaan Sistem Maklumat Geospatial Terain dan Cerun Negara (NATSIS) bertempat di Hotel Rocana, Kuantan, Pahang.
Bengkel ini bertujuan untuk memastikan keperluan spesifikasi yang komprehensif bagi pembangunan NATSIS. Sistem ini penting dalam pengurusan maklumat terain dan cerun secara lebih efisien, tepat, dan menyeluruh. Melalui NATSIS, data berkaitan cerun dan kawasan berisiko dapat dipantau dan diakses dengan lebih mudah oleh agensi-agensi yang berkaitan, sekali gus meningkatkan keupayaan dalam aspek pemantauan serta pengurusan risiko tanah runtuh.
Manfaat kepada rakyat adalah ketara, di mana akses kepada maklumat cerun dan risiko tanah runtuh dapat mengurangkan risiko bencana serta meningkatkan keselamatan penduduk, khususnya yang tinggal di kawasan cerun. Inisiatif ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan serta keselamatan awam terpelihara melalui pemerkasaan teknologi dan maklumat geospatial.