16 November 2024
Gua Damai Extreme Park, Batu Caves, Selangor
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor mencemar duli ke Majlis Pengisytiharan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark sebagai Geopark Pertama Negeri Selangor, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YBhg. Datuk Zamri Ramli, Ketua Pengarah JMG serta YBrs. En. Tuan Rusli Tuan Mohamed, Pengarah JMG Negeri Selangor/ W.Persekutuan serta para pembesar negeri.
Gombak-Hulu Langat telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh (7) di bawah Program Pembangunan Geopark oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia sentiasa komited untuk membantu Kerajaan Negeri dari sudut kajian saintifik geotapak dan program kesedaran bersama dengan masyarakat bagi setiap geopark yang telah dan akan dibangunkan di Malaysia.
GHLGp adalah ibarat suatu mutiara anugerah Tuhan di Negeri Selangor yang perlu dipulihara. Ia mengimbangkan pembangunan fizikal perbandaran dan keperluan pemuliharaan sumber geodiversiti negara.
Bukit batu kapur, Bukit Damai yang berusia 400 juta tahun dan Permatang Kuarza Klang Gates atau Permatang Kuarza Gombak Selangor yang merupakan sebuah permatang kuarza tulen yang terpanjang di dunia dan berusia berusia 252 juta tahun adalah antara sumber geologi yang tidak ternilai di GHLGp.