Sumber Air Bawah Tanah Kurangkan Perbelanjaan Sekolah

KODIANG, 30 Oktober 2012 - Hasil penemuan sumber air bawah tanah di Sekolah Menangah Agama Nahdhah Hasanah ternyata menggembirakan pentadbiran sekolah itu mendapat sumber air untuk kegunaan harian pelajar.

Operasi pembinaan telaga tiub air bawah tanah itu dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Kedah/ Perlis/ Pulau Pinang yang mana hasilnya boleh menampung kira-kira 650 pelajar.

Ketua Pengarah JMG, Datuk Yunus Abd Razak, berkata, projek pembinaan telaga tiub air bawah tanah itu akan dilakukan berdasarkan permintaan penduduk mahupun sekolah di kawasan tertentu.

Menurutnya, pihaknya terlebih dahulu menjalankan penyelidikan sama ada kawasan tersebut bersesuaian dengan projek yang ingin dilaksanakan dan ternyata kawasan itu mempunyai sumber air bersih untuk keperluan seharian.

"JMG sentiasa akan mengesan sumber air tanah di tempat mempunyai potesi dan bertindak membangunkan kawasan itu untuk kegunaan kepada mereka yang memerlukan.

"Terlebih dahulu proses siasatan melihat sama ada sumber air berkenaan boleh digunakan ataupun tidak dijalankan dan didapati hasilnya adalah sangat aik memenuhi kehendak yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM)," katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub Bawah Tanah di Kampung Melele, kelmarin.

Menurutnya, projek pembinaan telaga tiub air bawah tanah itu menelan kos perbelanjaan kira-kira RM100,000 hingga RM120,000 yang mana turut mendapat peruntukan daripada Kementerian Luar Bandar.

"Proses pengepaman air bawah tanah itu dianggarkan boleh mencapai 1,600 liter sejam dan pembinaanya dikorek dengan kedalaman sehingga 60 meter.

"Dengan pembinaan telaga itu pihak sekolah sedikit sebanyak dapat mengurangkan perbelanjaan untuk menjelaskna bil air yang mana peruntukan itu boleh digunakan untuk kemudahan lain dan secara amnya mampu untuk menampung keseluruhan pelajar di sekolah tersebut," katanya.

nahdhah b

Sebahagian murid Sekolah Menengah Nahdhah Hasanah Melele membuat persembahan nasyid sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran tetamu sebelum berlangsungnya Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub Bawah Tanah.

Written by : afif