Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek Pembangunan Bil 1/2018 JMG Pahang 2018

Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek Pembangunan Bil 1/2018 JMG Pahang 2018

Oleh : Mohammmad Aznawi b. Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

Pada 4 Mac 2018, telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek Pembangunan Bil 1/2018 JMG Pahang, Mesyuarat ini merupakan mesyuarat kali pertama bagi pemantauan projek pembangunan bagi tahun 2018 dan diadakan di Bilik Mesyuarat Gipsum, Tingkat 3 Bangunan JMG Pahang bagi membentangkan perkembangan dan kemajuan kerja projek pembangunan yang dilaksanakan oleh JMG Pahang. Mesyuarat diihadiri oleh Pengarah JMG Pahang selaku pengerusi mesyuarat, Timbalan Pengarah JMG Pahang, ketua-ketua unit teknikal dan semua pegawai projek yang berkaitan. Mesyuarat bermula pukul 9.30 pagi.

Mesyuarat Pembangunan April 2018

Mesyuarat dimulakan dengan taklimat umum dari Dato’ Pengarah JMG Pahang, Dato’ Ir Azman bin Abd Majid berkenaan pemakluman dan perkembangan semasa JMG Pahang. Antara lain, beliau mengingatkan semua pegawai untuk melengkapkan Sasaran Kerja Tahunan 2018 dan kakitangan bawahan masing-masing. Beliau juga memberikan peringatan kepada semua pegawai untuk memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut masa dan skop kerja yang ditetapkan.

Mesyuarat kemudian dipandu oleh Cik Khairunnisa binti Alias selaku setiausaha mesyuarat. Pembentangan pertama ialah oleh En. Abdul Razak bin Zainal Abidin selaku pegawai bertanggung jawab projek geowarisan bagi JMG Pahang. En. Razak telah membentangkan kemajuan kerja projek geowarisan di kawasan Merapoh, Lipis. Ini disusuli oleh En. Zaidi bin Mat Zin yang membuat pelaporan berkaitan Projek Sumber Mineral Mineral Berlogam, antaranya termasuk kajian susulan potensi emas di Lanchang, Temerloh Pahang serta penemuan sumber emas terbaharu beliau dan pasukan beliau.

Sesi selanjutnya ialah pembentangan oleh En Yusuf bin Imbun, Beliau melaporkan berkenaan kemajuan kerja projek di bawah kawal selia beliau iaitu kajian sumber bauksit di daerah Maran. Cik Nafizah binti Md Padzin seterusnya membentangkan laporan berkaitan projek kajian sumber nadir bumi (rare earth material) di daerah Raub dan Rompin. Kajian sumber nadir bumi ini merupakan antara kajian mineral terbaharu JMG Pahang bermula pada tahun 2016.

En Muhammad bin Abdullah selanjutnya menyampaikan pembentangan projek beliau berkaitan Kajian Sesar Aktif dan kawasan risiko gempa bumi di sekitar daerah Bentong serta kemajuan Projek Pemetaan Bencana dan Risiko Cerun (PBRC) daerah Cameron Highlands. Beliau juga melaporkan berkenaan kemajuan dan status penggunaan drone yang dibeli pada tahun 2017. Ini diikuti seterusnya oleh pembentangan En Zainal Abidin bin Jamaluddin mengenai kajian sumber air tanah yang melibatkan antaranya termasuklah pembangunan sumber air tanah di kawasan masalah bekalan air (water stress area) dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) di sekitar daerah Pekan, Rompin dan Raub.

Pembentangan laporan terakhir berkaitan Projek Pembangunan JMG Pahang dibuat oleh Cik Khairunnisa binti Alias berkenaan Kajian Penilaian Rizab Air Tanah Negara bagi Lembangan Sungai Pahang dan kemajuan kerja projek kajian tanah gambut dan telaga tiub yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Malaysia.

Dato’ Pengarah JMG Pahang dalam ucapan penutup beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang telah berusaha menyiapkan semua projek pembangunan yang dibentangkan. Beliau juga berharap pada tahun 2018 ini, semua projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan baik mengikut masa yang ditetapkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pembangunan Bil 1/2018 JMG Pahang ini ditangguhkan pada pukul 1.30 petang dengan jamuan makan tengahari.

- sekian -

Written by : aznawi