Program Tumpangan Sambil Belajar YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj bersama JMG Pahang

Program Tumpangan Sambil Belajar YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj bersama JMG Pahang

Oleh : Mohammad Aznawi b. Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustai’n Billah telah mengampuni perkenan untuk menempatkan Paduka Anakandanya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Abdullah Al-Haj ke jabatan-jabatan terpilih Jabatan Kerajaan Negeri dan Jabatan Persekutuan Negeri di Pahang. Sehubungan dengan itu, JMG Pahang telah turut dipilih dan diberi penghormatan untuk melaksanakan Program Tumpangan Sambil Belajar YM Tengku Hassanal Ibrahim yang berkenaan. Diputerakan pada 17 hb. September 1995, YM Tengku Hassanal Ibrahim masih menuntut di sebuah universiti di Geneva, Switzerland dan sedang bercuti pengajian semasa program berjalan.

Program Tumpangan Sambil Belajar YM Tengku Hassanal Ibrahim bersama JMG Pahang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK Pahang). Berdasarkan kepentingan Daerah Lipis dari segi sumber mineral, program telah dilangsungkan di Daerah Lipis selama 3 hari iaitu dari 10 Januari hingga 12 Januari 2018. Beberapa program dan aktiviti disusun, dirancang dan diatur oleh pihak Istana Negeri Pahang, SUK Pahang dan jabatan terbabit bagi perlaksanaan program YM Tengku Hassanal Ibrahim. Pada program berkenaan di Daerah Lipis, JMG Pahang telah diwakili oleh Dato’ Pengarah, Dato’ Ir. Azman b. Ab. Majid, Timbalan Pengarah, En. Wan Saifulbahri b. Wan Mohamad, En. Shari b. Ismail, En. Mohamed Hizam b. Abd Kadir, En. Mohammad Aznawi b. Hj Mat Awan dan En. Mohd Asnizam b. Ayub serta Tn. Hj. Yusri b. Md. Radzi.

Program bermula pada 10 Januari 2018 di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis di Bandar Baru Lipis, Kuala Lipis. Keberangkatan tiba YM Tengku Hassanal Ibrahim disambut oleh para kenamaan dan jemputan dari Daerah Lipis, serta Dato’ Pengarah JMG Pahang dan wakil-wakil dari JMG Pahang, diikuti majlis santapan tengahari di pejabat berkenaan. Selesai majlis santapan, program dimulakan dengan persembahan ucapan salam takzim hormat dari wakil Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, diikuti dengan persembahan taklimat pengenalan mengenai JMG dari Pengarah JMG Pahang, Dato’ Ir. Azman b. Ab. Majid. Dato’ Pengarah JMG Pahang telah membentangkan antara lain, termasuk misi, visi, fungsi dan tugasan jabatan kepada YM Tengku Hassanal Ibrahim. Beberapa persoalan dan pertanyaan telah dikemukakan YM Tengku Hassanal Ibrahim kepada Dato’ Pengarah JMG Pahang dan telah dibuat ulas jawab yang bersesuaian. Selepas persembahan taklimat oleh JMG Pahang, taklimat selanjutnya dipersembahkan oleh wakil dari Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang.

TH9

TH10

Pada sesi penyerahan cenderahati, YM Tengku Hassanal Ibrahim telah berkenan menerima persembahan tanda kenangan dari pihak JMG Pahang. Program petang diakhiri oleh sesi bergambar YM Tengku Hassanal Ibrahim dengan para kenamaan dan jemputan serta wakil jabatan yang hadir.

Pada sebelah malam 10 Januari 2018, berlangsung majlis santapan dan jamuan malam di Dewan Jubli Perak, Kuala Lipis sebagai sambutan rasmi keberangkatan tiba YM Tengku Hassanal Ibrahim ke Daerah Lipis. Majlis turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan, Ahli Parlimen Lipis, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Daerah Lipis, penghulu, ketua kampung serta ketua masyarakat dari seluruh Daerah Lipis. YM Tengku Hassanal Ibrahim telah turut dipersembahkan dengan pencak silat, tarian kebudayaan tradisional masyarakat Melayu dan alunan nyanyian oleh penyanyi tempatan sepanjang majlis santapan berlangsung. Majlis santapan berakhir pada pukul 10.00 malam.

Hari kedua 11 Januari 2018, YM Tengku Hassanal Ibrahim telah dibawa berangkat untuk lawatan ke Merapoh. Program pagi ialah aktiviti lawatan ke kawasan gua dan bukit batu kapur di Gua Harimau dan Gua Seribu Cerita, Merapoh. Sebelum berkenan memasuki gua-gua tersebut, YM Tengku Hassanal Ibrahim telah diberikan taklimat ringkas oleh En. Mohd Asnizam b. Ayub, Pegawai Geosains JMG Pahang, berkaitan pembentukan gua tersebut dari aspek geologi dan cadangan awal penarafan Kawasan Merapoh sebagai tapak Geowarisan Pahang. Lokasi bukit yang terletak bersebelahan lebuh raya Central Spine Road (CSR) Malaysia antara Pahang ke Kelantan mungkin boleh membantu memudahkan kawasan tersebut menjadi tarikan pelancong, selain dari aspek keistimewaan fenomena dan keindahan tersendiri morfologi bukit batu kapur kawasan tersebut. Wakil dari SGI Outdoor Sdn Bhd., selaku syarikat tempatan yang bertanggungjawab mengelolakan aktiviti penerokaan eko-pelancongan di kawasan itu seterusnya menyampaikan taklimat berkaitan aspek keselamatan sebelum gua batu kapur berkenaan dimasuki oleh ahli rombongan.

TH3

TH11

TH1

TH2

Program tengahari bersambung dengan lawatan YM Tengku Hassanal Ibrahim ke Pusat Taman Negara Pahang, Sungai Relau di Merapoh. Persembahan taklimat telah disampaikan oleh wakil Jabatan Perhilitan Pahang yang mengendalikan pusat berkenaaan. Selepas santapan tengahari, YM Tengku Hassanal Ibrahim dibawa untuk lawatan ke santuari kelah di Kuala Juram, Sungai Relau, Merapoh. Walau bagaimanapun, hujan lebat dan cuaca yang tidak begitu baik tidak mengizinkan semua ahli rombongan menyertai lawatan santuari kelah tersebut.

Sesi malam untuk hari kedua bersambung dengan program solat berjemaah Solat Maghrib, bacaan Yaasin, tahlil dan doa selamat bersama YM Tengku Hassanal Ibrahim di Masjid Sultan Mahmud, Lipis. Majlis berkenaan diketuai oleh Tuan Sahibus Samahah Mufti Daerah Lipis. Selepas Solat Isyak, YM Tengku Hassanal Ibrahim berkenan untuk turut sama menyertai majlis santapan dan jamuan malam serta majlis ramah mesra bersama pelajar-pelajar tahfiz Daerah Lipis dan ahli kariah masjid yang hadir pada malam tersebut.

TH4

Hari ketiga pada 12 Januari 2018, YM Tengku Hassanal Ibrahim dibawa untuk sesi perjumpaan dan ramah mesra dengan penduduk masyarakat Orang Asli di Pos Betau, Lipis. Majlis berlangsung meriah di Dewan Orang Ramai Pos Betau, Lipis dengan sambutan tarian sewang dan nyanyian istimewa dari masyarakat setempat. Pada majlis berkenaan, YM Tengku Hassanal Ibrahim telah berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf-asnaf masyarakat Orang Asli yang layak. Beliau juga telah turut menyertai acara menyumpit dan beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli yang begitu teruja untuk bersama beliau.

TH6

TH7

Pada sesi tengahari, YM Tengku Hassanal Ibrahim telah bersama-sama mengerjakan Solat Fardhu Jumaat di Masjid Gugusan Felda Sg Koyan di Lipis. Ketibaan beliau disambut mesra dan penuh takzim oleh penduduk kariah. Selepas selesai Solat Jumaat, YM Tengku Hassanal Ibrahim berkenan meluangkan sedikit masa untuk beramah mesra bersama penduduk setempat kariah Felda Sg Koyan yang hadir.

Sesi terakhir program YM Tengku Hassanal Ibrahim di Daerah Lipis ialah sesi lawatan bersama masyarakat DUN Benta, Lipis di Kampung Peruang di Benta, Lipis. YM Tengku telah dibawa untuk melihat sendiri proses pembuatan gula kabung, dodol, lemang dan cucur yang amat terkenal di daerah itu. YM Tengku Hassanal Ibrahim mengakhiri program beliau di Kampung Peruang, Benta dengan sesi ramah mesra serta pengurniaan sumbangan untuk golongan yang memerlukan di sekitar DUN Benta.

Adalah diharapkan Program Tumpangan Sambil Belajar YM Tengku Hassanal Ibrahim bersama JMG Pahang di Daerah Lipis ini dapat membantu menambahkan sedikit sebanyak pengetahuan dan ilmu YM Tengku Hassanal Ibrahim berkenaan JMG secara am dan khusus. 

Mohon sembah maklum dan ampun kami di JMG Pahang, Tengku.

- Sekian -

 

Written by : aznawi