Misi Kemanusiaan Gempa Bumi Sabah

Misi Kemanusiaan Gempa Bumi Sabah

Pada hari Jumaat 5 Jun 2015, Sabah dikejutkan dengan satu kejadian gempa bumi berukuran 5.9 Skala Richter yang berlaku di daerah Ranau, Sabah dan gegaran tersebut juga turut dirasai di beberapa daerah di Sabah. Kejadian gempa bumi tersebut telah meragut 18 nyawa dan merosakkan beberapa struktur bangunan serta kediaman di kawasan Ranau dan Kota Belud, Sabah. 

gempa

Persediaan Misi

Pada 8 Jun 2015, JMG telah mengambil langkah inisiatif bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi tersebut. JMG Sabah telah membuat kutipan derma dan sumbangan barangan keperluan. Hasil sumbangan tersebut telah dihantar melalui Misi Kemanusian Kelab KEMG, Jabatan Mineral dan Geosains, Sabah.

Pada 18 Jun 2015, bermula jam 9.00 pagi, misi Bantuan Kemanusiaan JMG, telah memulakan perjalanan dari pejabat untuk membuat agihan sumbangan barangan keperluan ke beberapa buah kampung yang terjejas iaitu Pekan Nabalu, Kg Kiau Taburi, Kg Mininsalu Baru dan Kg Kelawat.

Jumlah Kutipan: Rm1135 (Rm1035-JMG Sabah, Rm100-Seorang pegawai dari JMGSarawak)

Barang-barang sumbangan;

  1. Beras (5Kg) – 20
  2. Gula (1kg) – 20
  3. Makanan Tin (Sardin) – 68 tin *
  4. Meehun – 20
  5. Mee – 20
  6. Biskut – 10pek besar
  7. Kopi – 10pek besar
  8. Tea -10pek besar
  9. Air Mineral – 47 kotak mineral dan 97 botol mineral (1.5L)*

*termasuk sumbangan perseorangan dari JMG dan luar JMG

Peserta Misi Kemanusiaan

Misi kemanusiaan KEMG pada 18hb Jun 2015 diketuai oleh Presiden KEMG, En. Morius Bantas, disertai bersama oleh sukarelawan KEMG yang lain iaitu Pn Faye Dona Edmund, En. Jaineh Lingi, Cik Lim Li Chien, Pn. Carrie Joe, Pn Suriani Ramlee, En. Petrus Gobu, En. Nicholas Sindam, En. Rosman Erang.

Destinasi Misi Kemanusiaan

Destinasi pertama misi kemanusiaan KEMG ialah Pekan Nabalu. Kami dimaklumkan bahawa terdapat beberapa buah rumah yang terjejas oleh gempabumi dan dikategorikan sebagai tidak selamat. Mereka memaklumkan bahawa kumpulan kami merupakan yang pertama sampai ke pusat mereka sejak pusat itu dibuka untuk menerima bantuan daripada orang ramai dan juga kerajaan.

 

bantuan1

Gambar 1: Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pekan Nabalu, En Jimmer Gudu sedang menerima sumbangan daripada KEMG.

Destinasi kedua misi kemanusiaan KEMG ialah Kg Kiau Toburi. Kami dimaklumkan bahawa terdapat 7 buah rumah yang terjejas teruk oleh bencana gempa bumi. Para peserta misi sempat meninjau rumah en. Juanis Galiong yang telah ditinggalkan kerana kerosakan teruk dan dikategorikan sebagai rumah tidak selamat untuk didiami.

crack

Gambar 2: Antara bahagian rumah yang merekah akibat gempabumi di rumah En. Juanis Galiong

bantuan2

Gambar 3: Para peserta misi kemanusiaan sedang menyerahkan sumbangan kepada wakil penduduk Kg Kiau Taburi.

Destinasi seterusnya ialah Kg Mininsalu Baru, Ranau di mana kami telah memberikan minuman botol kepada penduduk kampung di sana. Kami difahamkan, kumpulan kami juga merupakan kumpulan yang pertama ke kg ini untuk menghulurkan bantuan air bersih sejak bekalan air terputus di Daerah Ranau akibat banjir lumpur, yang melumpuhkan operasi Loji Perawatan Air Ranau.

air

Gambar 4: Penyerahan Air Minuman kepada penduduk Kg Mininsalu, Ranau.

Destinasi keempat dan terakhir misi kemanusiaan KEMG ialah Kg Kelawat, Tamparuli. Kampung ini terletak di tepi jalan Ranau-Tamparuli dan kami dimaklumkan bahawa terdapat beberapa buah rumah yang terjejas akibat gempa bumi. Ini termasuklah kediaman para jururawat di Klinik Desa Kelawat dan juga rumah Pengerusi JKKK Kg Kelawat, En. Ami Gundolot. En. Ami Gundolot kini menumpang di salah satu rumah di tepi jalan kerana rumah beliau tidak lagi selamat untuk diduduki.

 

air3

Gambar 6: Pengerusi JKKK Kg Kelawat, En. Ami Gundolot menerima sumbangan daripada KEMG

Penutup

Misi pemberian sumbangan berakhir pada jam 5.30 petang di Kg Kelawat. Semua penerima sumbangan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada KEMG di atas sumbangan yang telah diberikan. Secara amnya, misi kemanusiaan KEMG terhadap mangsa-mangsa gempa telah sedikit sebanyak membantu mangsa mangsa gempa meneruskan kehidupan seharian mereka. Pihak KEMG mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua kakitangan JMG Sabah dan orang perseorangan kerana sudi memberikan sumbangan bagi tujuan misi ini. Semoga semangat seperti ini akan berterusan di masa-masa akan datang.

Written by : azlan0576