Ambang Merdeka Raya 2013 JMG Sarawak

Bersempena syawal dan bulan kemerdekaan, Badan Kakitangan Islam (BKKI) Sarawak dengan kerjasama Kelab Mineral dan Geosains Sarawak (KMGS) telah mengadakan Majlis Ambang Merdeka Raya (MAMR) 2013. Seluruh warga JMG Sarawak telah turut serta meraikannya. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Encik Salehuddin Bin Mohamad dan diikuti oleh Encik Henry Litong Among selaku Pengerusi bersama MAMR 2013 dan seterusnya ucapan perasmian oleh Encik Alex Unya Ambun, Pengarah Mineral dan Geosains Sarawak merangkap Presiden KMGS.

Encik Alex Unya selaku Presiden KMGS beserta dengan Encik Henry Litong Among dan Encik Salehudin Bin Mohammad melakukan upacara perasmian simbolik iaitu membelah dan membuka lemang.

Sejurus selesai upacara perasmian, majlis dihiburkan oleh persembahan pentarama Jabatan Penerangan Malaysia yang diketuai oleh Encik Robin Junang dan disusuli oleh persembahan Kumpulan Gendang Melayu Asli iaitu Kumpulan Sinar Cahaya Tabuan yang diketuai oleh Encik Maan Bin Andai. Acara bermukun (bergendang dan berpantun) dan menopeng (joget Sarawak) oleh Kumpulan Sinar Cahaya Tabuan dimeriahkan lagi dengan penyertaan Encik Alex Unya Ambun menopeng dan disertai oleh kakitangan yang lain.

Majlis diselitkan dengan pengumuman Tokoh BKKI bagi tahun 2013 dan juga pemilihan pakaian tercantik bagi kategori lelaki dan wanita. Tokoh BKKI 2013 telah dimenangi oleh Tuan Haji Che Abdul Rahman Bin Ja’afar manakala pertandingan Pakaian Majlis Ramah-tamah Aidilfitri 2013 bagi kategori lelaki dimenangi oleh Encik Pandi Bin Kipli dan kategori wanita pula dimenangi oleh Puan Azlina Bte Madihi.

Semoga sambutan seumpama ini dapat mengeratkan silaturahim dan merapatkan perpaduan dikalangan warga JMG Sarawak. Selamat Hari Raya dan Salam Kemerdekaan ke-56.

Written by : Marina M