Pada 16 hingga 19 Januari 2015 yang lalu, seramai 13 peserta yang terdiri daripada ahli Kelab Rekreasi dan Mineral dan Geosains (KEM-G), Jabatan Mineral dan Geosains Kota Kinabalu Sabah telah menyertai lawatan sambil belajar ke Pulau Langkawi. Rombongan ini turut disertai oleh ahli keluarga masing-masing.
Rombongan ini dirancang sebagai salah satu aktiviti kelab bagi memberikan pendedahan bidang geologi alam sekitar dan batuan yang terdapat di sekitar Pulau Langkawi yang turut dikenali sebagai Langkawi Geopark. Pulau Langkawi telah diiktiraf sebagai tapak UNESCO pada 1 Julai 2002. Secara keseluruhannya, kebanyakkan pulau-pulau yang terdapat di sekitarnya adalah di bawah pemantauan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Rombongan bertolak ke Pulau Langkawi dari Kota Kinabalu pada 16 Januari 2015 bersamaan hari Jumaat seawal jam 7.05 pagi dan 12.25 tengahari menaiki pesawat penerbangan Air Asia. Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Pulau Langkawi dari Kuala Lumpur International Airport 2 (klia2) pada jam 7.00 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 8.00 malam.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan bidang geologi alam sekitar dan batuan yang terdapat di sekitar Pulau Langkawi yang turut dikenali sebagai Langkawi Geopark kepada peserta yang terlibat.