Johor Bahru, 20 Februari 2025 – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Johor dengan kerjasama Persatuan Kuari Johor (JQA) telah mengadakan sesi libat urus bersama dengan pihak terlibat dalam industri pengkuarian dan perlombongan termasuk agensi Kerajaan seperti PTG, Pentadbir Tanah Daerah dan Pejabat Perhutanan Negeri Johor, pengusaha-pengusaha kuari dan lombong serta konsultan yang telah diadakan di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Dalam ucapan perasmian, Pengarah JMG Johor YBrs. Tn Haji Noorazhar bin Ngatimin berharap dengan adanya sesi libat urus ini segala urusan pentadbiran berkaitan kuari dan lombong dapat berjalan dengan lancar dan mematuhi peraturan-peraturan berkuatkuasa. Beliau juga mengingatkan agar pengurusan dokumen dapat diperkemaskan, seterusnya berharap perancangan dan pelaksanaan dapat dilakukan dengan teliti agar industri ini berjalan secara mampan dan memberikan manfaat optimum kepada ekonomi negeri dan negara seterusnya kelestarian alam dapat dipelihara dan penghuninya dapat hidup dalam suasana yang kondusif. Hakikat yang perlu diterima ialah pembangunan dan aktiviti pengkuarian berjalan seiring.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi JQA Dato' Sri Toh Keng Tiong, JP, mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sokongan dan kerjasama semua yang terlibat sama ada di pihak Kerajaan atau pemain industri dalam memastikan program ini dapat berjalan lancar dan industri pengkuarian dan perlombongan diuruskan sebaiknya.
Ketua Penolong Pengarah Pelupusan, Teknikal dan Kuatkuasa PTG Johor En . Muhammad Nor bin Jaafar telah memberikan peringatan akan keperluan mematuhi undang-undang dan peraturan Pihak Berkuasa Negeri. Pentadbir Tanah Johor sedang mengemaskini beberapa peraturan yang telah lama atau usang dan menambahbaik pengurusan berkaitan tanah dan operasi kuari serta lombong.
PTG Johor juga sedang merancang penggunaan teknologi LiDAR dalam pengurusan kuari dan lombong, seterusnya perkongsian teknologi LiDAR ini telah dikongsikan oleh En. Azrul bin Abdull Azis Ketua Sektor Perancangan dan Geospatial dari PDT (Aset) sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Johor. Timbalan Pegarah Unit Pembangunan Lombong dan Kuari En. Hairul bin Shaharudin telah membentangkan Taklimat Kaedah - Kaedah Kuari Johor 2016 dan Laporan Audit SDI.
Dalam memastikan industri ini sentiasa mengikut peraturan, relevan dan mampan JMG telah memperkenalkan program pengauditan menggunakan kaedah Sustainable Development Indicators (SDI). Sejumlah 18 kuari dan 2 lombong yang telah diaudit pada tahun 2024 turut dirai dan menerima sijil.
Sumbangan artikel : FB jmgjohor