PROGRAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERASASKAN KOMUNITI (CBDRM) TAMAN EKO RIMBA (TER) CHAMANG, BENTONG, PAHANG

PROGRAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERASASKAN KOMUNITI (CBDRM) TAMAN EKO RIMBA (TER) CHAMANG, BENTONG, PAHANG
Pada 19 Oktober 2023, satu Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti, ataupun 'Community Based Disaster Risk Management Programme' telah dijalankan di Bentong Happy Farm, Bentong, Pahang oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Pahang.
 
Objektif program ini dilaksanakan adalah bagi memperkasakan komuniti setempat di sekitar daerah Bentong terhadap bencana berasaskan sedimen, khususnya berkaitan bencana aliran puing dan kepala air yang berlaku di Taman Eko Rimba (TER) Chamang. Program ini merangkumi pembentangan oleh individu berpengalaman di dalam pengurusan risiko bencana iaitu Dato Zakaria bin Mohamad (Pengerusi BOG) dan En Roslan Ab. Ghani (Pengasas dan Presiden Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan), lawatan tapak di TER Chamang serta sesi 'ice breaking' di dalam kumpulan.
 
Program ini dihadiri oleh pelbagai lapisan komuniti seperti kerajaan tempatan (MP Bentong, PTD Bentong serta SUK Pahang), agensi teknikal dan responder (JPAM Bentong, JBPM Bentong, PDRM Bentong, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Perhutanan Daerah Bentong dan JPS Bentong), Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADIM) dan komuniti tempatan (penghulu dan ketua kampung sekitar Bentong, Persatuan Malim Gunung dan pengusaha resort tempatan). Program ini turut menjemput saudara Firdaus, yang merupakan salah seorang penduduk Yan yang terjejas dengan kejadian aliran puing di Jerai pada 2021 bagi berkongsi pengalaman kepada peserta.
 
Dengan pelaksanaan program ini, komuniti setempat diharap menjadi lebih bersedia dan sentiasa peduli dan peka terhadap persekitaran yang berkerentanan tinggi terhadap bencana geologi.

Written by : zaj@jmg.gov.my