Geotapak (geosite) ialah tapak atau kawasan yang mengandungi ‘bahagian daripada permukaan bumi yang mempunyai warisan saintifik bernilai tinggi’. Kami di Malaysia memulakan kajian mengenai geotapak pada 1996, untuk menentukan, menciri dan menilai ‘sumber bumi baharu’ ini bagi tujuan pemuliharaan dan pembangunan lestari. Pendekatan ini menyampang daripada amalan ahli geologi lazim yang memberikan tumpuan kepada ‘nilai eksploitatif sember bumi’. Kami memperkenalkan istilah geokepelbagaian, geotapak, geopemuliharaan, geopelancongan, dan geopark. Seperti biasa, mereka memberikan tumpuan kepada ‘geopark’, tetapi mengabaikan pembangunan geotapak. Walhal, inilah binaan asas untuk geopemuliharaan, geopelancongan dan geopark! Geotapak dinilai berasaskan warisan saintifik (sebahagian daripada warisan budaya - pembangunan ilmu). Ia dikelaskan kepada 5 komponen asas: 1. Minerals - komponon asas dalam pembentukan batuan, ada yang biasa dan ada yang langka, ada yang terhablur lengkap menunjukkan nilai estetik tinggi. Berlian adalah mineral! 2. Batuan - bahan yang membentuk permukaan bumi (litosfera). Pelbagai jenis, pelbagai cara pembentukannya, dan pelbagai usia. Batuan adalah dasar kehidupan - terurai membentuk tanah, sesuai untuk hidupan dan ketamadunan manusia. Pernahkah anda mendengar istilah ‘Kitar Batuan’? 3. Fosil - hidupan purba, sebahagian besar telah pupus. Dunia dihuni oleh pelbagai hidupan kompleks telah berada di permukaan bumi sejak lebih 600 juta tahun lepas. Hidupan berkembang dan pupus beberapa kali, tinggalan di dalam batuan dipanggil fosil. 4. Struktur Geologi - batuan membentuk struktur seperti perlipatan, sesaran dan pelbagai bentuk aneh. Ia hasil ‘proses tektonik’ (mampatan, regangan dan pengangkatan) dalam masa yang panjang. Kadang kala ia menghasilkan ‘lukisan indah oleh proses alam’. 5. Landskap (atau rupabumi) - gunung, gaung, sungai, dataran dan lembah. Pembentukannya berlaku dalam masa panjang oleh proses dalaman (tektonik) dan proses luaran (luluhawa, hakisan). Bentuk rupabumi yang unik dan menakjubkan dilihat sebagai ‘keindahan alam yang menimbulkan rasa kekaguman dan inspirasi’. Landskap adalah satu daripada komponen geotapak yang dihargai dan sering dipulihara.
Program Moh Borak Siri 2/2023
IPOH, 29 OGOS - Cawangan Pelaksana Pengkomersialan (CPP), Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (PPM-JMG) telah mengadakan satu Program Moh Borak Siri 2/2023 " Nostalgia Mengamit Memori" pada hari ini yang melibatkan dua (2) orang kakitangan PPM, iaitu Tn Hj Malek bin Selamat dan Pn Hjh Radin Nor Rahmah binti Djapar.
Program ini bertujuan memberi pengenalan dan pendedahan bagi berkongsi pengalaman bekerja serta penglibatan diri kakitangan tersebut sepanjang berkhidmat di PPM.
Sambutan Hari Kebangsaan dan Perhimpunan Bulanan Ogos 2023 Pusat Penyelidikan Mineral.
IPOH, 24 OGOS - Pada hari ini telah diadakan majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Perhimpunan Bulanan Ogos 2023 peringkat Pusat Penyelidikan Mineral.
Sambutan ini telah diadakan di Dewan Seminar, Pusat Penyelidikan Mineral dengan penglibatan daripada semua kakitangan PPM.
Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Fun Walk PPM, Pertandingan Infografik, OOTD Merdeka, Seni Merdeka dan Tayangan Cerita Pendek Tok Adi 2 bagi memenuhi sambutan tersebut.
Lawatan Pelajar Antarabangsa Program Mineral Resources International Summer School 2023 (MIRESS 2023) Sesi Kedua
IPOH, 23 OGOS - Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah menerima lawatan sesi kedua daripada pelajar antarabangsa Program Mineral Resources International Summer School 2023 (MIRESS 2023) di bawah kelolaan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM pada hari ini.
Rombongan pada kali ini terdiri daripada 37 orang pelajar dan 1 orang guru pengiring dari Politeknik Akamigas Palembang (PAP) dan 4 orang pelajar dan seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), USM.
Dalam lawatan ini, ahli rombongan telah diberi taklimat mengenai PPM dan dibawa melawat hasil penyelidikan PPM di Galeri Penyelidikan dan makmal-makmal CTPM, CTBS, CTBB dan CTBT.
Semoga kunjungan lawatan ini dapat memberi input dan perkongsian pengalaman yang berguna dengan para pelajar sebagai pewaris dalam bidang sumber mineral di rantau ini.
Hari Semakan Buku Perkhidmatan
Ipoh, 18 Ogos - Unit Pentadbiran dan Kewangan (UPK), Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah mengadakan Hari Semakan Buku Perkhidmatan pada 17 & 18 Ogos 2023.
Warga kerja PPM diberi peluang untuk membuat semakan buku perkhidmatan masing-masing untuk memastikan maklumat perkhidmatan dikemaskini, teratur dan tepat.
Terima kasih diucapkan kepada YBrs. Pengarah Kanan dan seluruh warga PPM di atas kerjasama memeriahkan dan melancarkan Hari Semakan Buku Perkhidmatan bagi Tahun 2023.