AT-TIFASYI merupakan seorang ilmuan Arab yang sangat terkenal dalam bidang geologi. Beliau tergolong sebagai salah seorang ilmuan dan pengasas pertama ilmu geologi.
Nama sebenar beliau ialah Syihabuddin Abu Abbas Ahmad bin Yusuf bin Ahmad bin Abu Bakr bin Hamdun. Beliau dikenal dengan nama At-Tifasyi kerana dilahirkan di sebuah desa yang bernama Tifasy, iaitu yang terletak berhampiran kota Qafshah, sebelah barat Tunisia. Beliau juga dikenal dengan nama Al-Qafshi.
At-Tifasyi lahir pada 580 Hijrah / 1184 Masihi. Beliau berasal dalam kalangan keluarga yang kaya raya dan berpengaruh. Datuknya adalah salah seorang kakitangan kerajaan Al-Muwahhidin yang pernah memerintah negara Maghribi. Bapanya adalah seorang pegawai di pejabat kehakiman.
Syihabuddin At-Tifasyi telah menghabiskan masa kecilnya dan sebahagian daripada masa remajanya di Tunisia. Dia kemudian berkunjung ke Kaherah dan dari kota tersebut beliau berangkat menuju Damsyik dan kemudian kembali ke Tunisia.
Ketika berada di tanah tumpah darahnya, Tunisia, beliau memegang jawatan sebagai hakim di kota Qafshah hingga digulingkan oleh pembesar yang berkuasa di kota itu kerana kebencian yang telah tertanam sebelumnya di hati penguasa tersebut terhadap At-Tifasyi.
Ketika di Mesir, At-Tifasyi telah menjalin hubungan baik dengan Sultan Al-Ayyubi dan Raja Al-Kamil.
Perjalanan beliau berakhir di kota Kaherah, Mesir hingga akhirnya At-Tifasyi dipanggil kembali oleh Yang Maha Berkuasa, meninggalkan dunia yang fana ini pada 651 Hijrah / 1253 Masihi.
At-Tifasyi telah mencipta dasar ilmu geologi, terutama dalam pengajian dan penelitian yang berhubung dengan batu-batuan (mineralogi). Beliau juga banyak menguasai ilmu geografi, melakukan pemantauan terhadap udara dan menguasai ilmu kedoktoran, serta mengarang buku dalam bidang itu.
Buku karangannya, kitab Azhar Al-Afkar Fi Jawahir Al-Ahjar merupakan ensiklopedia besar dalam ilmu geologi dan mineralogi. Buku ini dibahagi menjadi beberapa bab dan tiap-tiap bab membahas tentang salah satu jenis logam atau 'batu mulia'.
Penulisan buku ini selesai pada 640 Hijrah (1242 Masihi), dan pernah diterjemahkan beberapa kali ke dalam bahasa Latin, Perancis, Inggeris, dan Jerman.
Demikian juga dalam bidang ilmu alam (geografi) di mana dalam kitab Saj' Al-Hudail Fi Akhbar An-Nil, sebuah buku ensiklopedia menerangkan tentang sungai di Mesir dan keadaannya ketika surut dan banjir. Juga tentang keadaan tanah yang dialiri oleh sungai itu serta hasil pertaniannya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130402/ba_02/Ilmuan-Arab-pakar-geologi#ixzz2PO6p1YVH
© Utusan Melayu (M) Bhd
ARKIB : 02/04/2013