ALOR SETAR – Ahad 10 Jun 2013, Pengarah JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMG KPP), Tn. Hj. Zainol b. Husin telah melakukan satu kunjungan hormat untuk bertemu YAB. Dato’ Paduka Mukhriz bin Tun Dr Mahathir di Pejabat Menteri Besar Kedah Darul Aman.
Kunjungan hormat ini diketuai oleh Tuan Pengarah JMG KPP dan diiringi oleh En. Azihan bin Mat Arshad, Pegawai Galian. Pada sesi pertemuan dan ramah mesra tersebut, satu taklimat dan penerangan ringkas telah disampaikan oleh Pengarah JMG KPP mengenai fungsi-fungsi JMG, Visi, Misi dan Objektif Jabatan. Disamping itu, Pengarah JMG KPP juga telah memberi beberapa cadangan kepada YAB Menteri Besar Kedah berkaitan pembangunan geosains dan sumber mineral meliputi pembangunan telaga air bawah tanah, potensi ekonomi mineral, potensi geopelancongan dan geowarisan yang terdapat di Negeri Kedah.
Sesi pertemuan tersebut berlangsung selama satu jam. Di akhir pertemuan kunjungan hormat kali ini, satu cenderahati telah disampaikan oleh Tuan Pengarah JMG KPP kepada YAB Menteri Besar Kedah. Cenderahati yang disampaikan adalah berbentuk sampel batuan asal yang mengandungi mineral besi (iron ore) seberat 5kg. Sampel batuan ini telah diambil dikawasan sekitar Gurun, Kedah.
Terima kasih diucapkan kepada YAB Menteri Besar Kedah di atas kesudian menerima kunjungan dan semoga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara agensi jabatan persekutuan khususnya JMG KPP dan pihak Kerajaan Negeri Kedah amnya.