Majlis Gotong-Royong Perdana Sambut Ketibaan Ramadhan

ALOR SETAR, 1 Julai 2013 - Satu Program Gotong-Royong Perdana peringkat jabatan telah berjaya diadakan di JMGKPP di mana seluruh tenaga pegawai dan kakitangan yang prihatin dan ikhlas telah berganding bahu di dalam aktiviti ini. Program ini telah dikelolakan oleh Ahli Rakan Pembimbing (AKRAB) dan penyertaannya turut disertai oleh empat orang pelajar IPTA yang menjalankan latihan industri di sini.

Objektif program menjurus kepada memupuk kesedaran serta menitikberatkan kebersihan pejabat, menceriakan dan menyediakan persekitaran pejabat yang kondusif.

Di samping itu, program juga dirangka sempena di ambang ketibaan Ramadhan Al-Mubarak tidak lama lagi. JMGKPP amat berharap aktiviti gotong-royong ini sebenarnya akan dapat menjalin dan memperkukuhkan semangat kerjasama dan ukhuwah antara pegawai dan kakitangan di dalam semua keadaan pada setiap masa.


JMGKPP GotongRoyong2

Turut diadakan ialah aktiviti gotong-royong menyediakan juadah tengahari berupa nasi putih bersama gulai kawah batang pisang, ikan masin dan ulam-ulaman. Durian, rambutan dan langsat juga turut disumbangkan oleh staf untuk dinikmati bersama.

Di akhir program satu majlis tahlil, doa selamat dan kesyukuran juga telah diadakan. Program ini berjalan sehari suntuk.

Terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang terlibat di atas kerjasama dan komitmen yang tinggi bagi menjayakan program ini.

Disediakan oleh: Khazari bin Ahmad

 

Written by : afif