ALOR SETAR, 25 Januari 2015 - JMGKPP telah menganjurkan Program Jelajah Gua Gunung Keriang yang disertai kakitangan teknikal dan bukan teknikal jabatan. Turut sama menyertai ekspedisi ini ialah wartawan Sinar Harian, Cik Nurul Hidayah Hamid.
Pengalaman ekspedisi ini dan temubual bersama Tuan Haji Zainol bin Husin, Pengarah JMGKPP dikongsikan beliau dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Januari 2015.
Harta tersembunyi Gunung Keriang
ALOR SETAR - Umpama permata tersembunyi di balik timbunan bongkah batu, begitulah diibaratkan keunikan salah satu tapak warisan geologi, Gunung Keriang, dekat sini.
Baru-baru ini, wartawan Sinar Harian bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah berkesempatan mengikuti Program Jelajah Gua Gunung Keriang demi mencabar gua batu kapur itu.
Dalam perjalanan masuk, kami perlu berjalan dalam gelap diiringi lampu kecil, meniti batu curam, memanjat dinding dan merangkak di celah batu meneroka gua.
Bagaimanapun, kepenatan meredah gua hampir lima jam seolah-olah hilang, sebaliknya hati terasa puas apabila berpeluang melihat sendiri rupa bentuk batu kapur yang terhasil.
Tak kenal maka tak cinta, hati terasa kagum tatkala memandang keunikan batuan, antaranya seperti stalaktit panjang dan fosil marin terbentuk di gua berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, kami sempat melihat sejenis batu berbentuk buaya, sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di salah satu gua gunung berkenaan.
Gua batu kapur berusia 270 juta tahun
Pengarah JMG Kedah, Zainol Husin berkata, gunung yang berketinggian hampir 600 meter (m) berkenaan terdiri daripada batu kapur berusia lebih 270 juta tahun.
“Gunung Keriang merupakan tarikan alam semulajadi di bandaraya Alor Setar kerana memiliki aneka warisan geologi unik, iaitu sumber mineral ataupun jenis batuan berlainan.
“Antaranya, seperti kalsit yang dijadikan barangan perhiasan. Begitu juga, gua kelawar yang memiliki longgokan baja fosfat. Malah, ia merupakan sumber fosfat ketika dahulu," katanya.
Katanya, tujuan kembara berkenaan dilakukan untuk memberi kesedaran mengenai tapak warisan geologi, sekali gus melakukan penambahbaikan di gua pintu Utara hingga Selatan ini.
Zainol berkata, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan sumber warisan geologi berkenaan perlu diambil kerana ia berpotensi menjadi sumber pelancongan geowarisan.
Menurutnya, pihak bertanggungjawab dicadangkan supaya memasang lampu pencahayaan bagi menambah keceriaan gua batu kapur berkenaan.
Malahan, katanya, beberapa kemudahan tertentu bercirikan keselamatan, seperti pengadang besi dan tali perlu disediakan untuk kemudahan pengunjung melakukan eksplorasi.
Tidak ketinggalan, katanya, papan tanda informasi gua memaparkan nilai warisan geologi, biologi dan arkeologi untuk tatapan pengunjung di pintu gerbang gua Gunung Keriang.
Malah, katanya, pihak JMG turut melakukan pemetaan semula gua berkenaan bagi mengenal pasti gua yang ada dan berpotensi menjadi laluan pelancongan.
Jangan teroka gua sendiri
Bagi pemandu pelancong, Mahadi Mat Akhir, 50, dia menyambut baik usaha penambahbaikan gua Gunung Keriang untuk kemudahan penduduk tempatan dan pelancong.
“Jika dibandingkan dahulu, jalan lebih licin. Namun, jikalau lebih menarik dan canggih. Saya sokong kerana ia memberi peluang lebih ramai orang meneroka gua,” katanya.
Mahadi berkata, dia sedia membantu menunjukkan mana-mana tempat berbahaya ataupun berpotensi dijadikan laluan pelancongan dalam usaha menaik taraf gua itu.
Sementara itu, katanya, dia yang sering memasuki gua sejak 20 tahun lalu menegah mana-mana pengunjung meneroka gua berkenaan sendirian tanpa kehadiran pemandu pelancong.
Malah, katanya, dia hampir kehilangan nyawa apabila tersepit dua kali dalam gua berkenaan, sekali gus menasihatkan pengunjung berwaspada ketika meneroka gua.