Hari Keluarga JMG Pahang 2019
Oleh : Mohammad Aznawi b. Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)
Hari Keluarga JMG Pahang 2019 telah dilaksanakan pada 3 Ogos 2019, bersamaan hari Sabtu, 2 Zulhijjah 1440 Hijrah. Ia telah diadakan dengan meriah dan jayanya di De Rhu Beach Resort di Balok, Kuantan. Hari Keluarga JMG Pahang ini merupakan aktiviti dwi-tahunan JMG Pahang yang diadakan secara berselang setiap tahun dengan Majlis Jamuan Tahunan JMG Pahang yang telah diadakan pada tahun 2018 yang lepas.
Hari Keluarga JMG Pahang 2019 telah dikelolakan oleh watankuasa Hari Keluarga JMG Pahang 2019 yang dipengerusikan pada kali ini oleh En Abdul Razak bin Zainal Abidin. Ahli-ahli jawatankuasa telah membuat perancangan seawal Januari 2019 bagi perlaksanaan hari keluarga ini. Alhamdulillah, hasil kerjasama dan usaha padu ahli jawatankuasa terutama dalam mengumpul dana dan sumbangan, serta sokongan dari semua kakitangan JMG Pahang yang lain, aktiviti ini berjaya dilaksanakan dengan baik.
Acara Hari Keluarga JMG Pahang 2019 bermula dengan sesi pendaftaran kakitangan dan ahli keluarga masing-masing pada pukul 8.00 pagi. Pasangan pengacara hari keluarga pada kali ini ialah En Zaidi bin Mat Zin, Pegawai Geosains JMG Pahang bersama Cik Hanis Humairah binti Hashim, pelajar Latihan Industri JMG Pahang dari Universiti Teknologi Petronas.
En Muhammad Azmi bin Mohammad Asri, Pekerja Sambilan Harian JMG Pahang kemudiannya membacakan doa selamat bagi memohon keberkatan aktiviti sebelum Pengerusi Jawatankuasa Hari Keluarga JMG Pahang 2019, En Abd Razak bin Zainal Abidin menyampaikan ucapan alu-aluan beliau.
Seterusnya, Pengarah JMG Pahang, Dato’ Ir Azman bin Abd Majid menyampaikan ucapan salam hormat beliau. Dato’ Pengarah dalam ucapan beliau antara lain mengucapkan terima kasih atas kehadiran yang baik dan memberangsangkan para kakitangan dan ahli keluarga JMG Pahang dalam kesibukan urusan harian serta keluarga masing-masing. Beliau berharap Hari Keluarga JMG Pahang 2019 ini dapat memberikan kelapangan dan keceriaan pada semua yang hadir serta dapat membantu merapatkan ukhwah persahabatan di kalangan kakitangan dan ahli keluarga yang hadir.
Acara-acara sukaneka bermula pada pukul 9.45 pagi dengan acara kanak-kanak, diikuti selanjutnya oleh acara-acara untuk dewasa yang turut dibantu dan dikelolakan oleh kakitangan De Rhu Beach Resort, Balok yang bertugas. Pelbagai aksi dan ragam telah dipertontonkan oleh para peserta, beserta gelak ketawa semasa menjayakan acara-acara yang meriah ini. Walaupun cuaca agak panas dan berjerebu disebabkan pembakaran terbuka semasa di negara jiran, serta peralihan angin bawaan Monsun Barat Daya, acara tetap berjalan dengan baik dan meriah sekali. Acara sukaneka berlangsung sehingga oukul 11.15 pagi.
Majlis penyampaian cenderamata dan hadiah, bersekali dengan jamuan makan tengahari berlangsung pada pukul 11.30 di dewan makan terbuka bersebelahan tapak acara sukaneka. Cabutan bertuah telah turut diadakan dan bagi mereka yang mendapat hadiah yang diinginkan, tahniah diucapkan.
Acara Hari Keluarga JMG Pahang 2019 selesai dan ditangguhkan pada pukul 1.15 petang, diakhiri dengan sesi mandi, bermain air dan berenang di kolam renang dan tempat mainan sukan air di resort tersebut, bagi kakitangan dan ahli keluraga yang berminat.Ini merupakan acara yang amat ditunggu terutama di kalangan anak-anak dan para ayahanda masing-masing bagi menyejukkan badan.
Alhamdulillah, Hari Keluarga JMG Pahang 2019 ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama ahli jawatankuasa, para kakitangan dan ahli keluarga yang hadir walaupun hari berkenaan merupakan hari kelepasan Sabtu. Diharapkan silaturrahim yang erat antara kakitangan JMG Pahang akan terus dapat dipupuk dan dieratkan pada masa akan datang dan didoakan acara dwi-tahunan ini akan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan dirahmati Allah selalu. Amin
- sekian -