Sesi Taklimat dan Dialog Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Bersama Pengusaha Lombong dan Kuari, serta Pemegang Lesen Mineral / Lesen Memproses Mineral di Negeri Pahang
Oleh : Mohammad Aznawi b. Hj Mat Awan – KUPM JMG Pahang
Kuantan, 7 Januari 2020 (11 Jamadilawal 1441H). Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, dengan kerjasama JMG Pahang telah mengadakan sesi taklimat dan dialog bersama pengusaha lombong dan kuari, serta pemegang lesen mineral / lesen memproses mineral di Negeri Pahang. Sesi taklimat dan dialog ini diadakan berikutan beberapa peraturan terbaharu yang diwartakan oleh Kerajaan Malaysia berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan - Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pengkompaunan Kesalahan) 2019, bertarikh 31 Disember 2019 dan Warta Kerajaan Persekutuan - Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Penyata Perangkaan) 2019 yang diterbitkan pada 16 Julai 2019.
Sesi taklimat dan dialog ini telah berlangsung di Sri Manja Boutique Hotel Kuantan, Pahang. Sesi taklimat ini telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi untuk taklimat pihak industri berkaitan sektor perlombongan, manakala sesi petang dikhususkan untuk sektor pengkuarian.
Antara tujuan dan objektif sesi taklimat dan dialog ini ialah untuk memberikan penerangan dan pemakluman kepada pihak industri berkaitan lombong dan kuari berkaitan beberapa penambahbaikan yang diwujudkan serta relevan, mengambilkira kepentingan kerajaan, tuan punya industri serta pihak-pihak lain yang berkepentingan dalam industri perlombongan dan pengkuarian.
Program bermula dengan pendaftaran peserta seawal 8.30 pagi. Pendaftaran berjalan baik dengan kerjasama para peserta dan urusetia bertugas yang terdiri dari kakitangan JMG Pahang.
En Hairimy bin Abdul Rahim, Pembantu Operasi dan Puan Siti Nur Suraya binti Che Hashim, Pembantu Geosains dari JMG Pahang telah bertindak selaku pengacara sesi taklimat. Sesi bermula pada pukul 9.00 pagi dengan bacaan doa oleh Tn Hj Ahmad Fadzil bin Sulaiman, Pembantu Geosains JMG Pahang dan diikuti oleh nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Pahang.
Program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah JMG Pahang, YH Dato’ Ir Azman bin Ab Majid. Beliau mengucapkan selamat Tahun Baharu 2020 dan selamat datang kepada semua hadirin yang dari pengusaha lombong sentiasa berminat dengan keperluan peraturan dan undang-undang serta perkembangan terbaharu berkaitan industri perlombongan mereka. Dato’ Pengarah JMG Pahang juga menekankan tentang keperluan self-regulatory di kalangan para pengusaha berkaitan perlombongan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan kelestarian industri perlombongan.
Sesi berikutnya diikuti dengan ucapan perasmian oleh Tn Hj Hisamuddin bin Termidi, Timbalan Ketua Pengarah (Korporat dan Ekonomik Mineral) JMG Malaysia yang mewakili Ketua Pengarah JMG Malaysia, Datuk Shahar Effendi bin Abdullah Azizi yang tidak dapat hadir atas urusan rasmi lain yang tidak dapat dielakkan. Tn Haji Termidi antara lain telah memberikan penerangan am berkaitan peraturan terbaharu Warta Kerajaan Persekutuan yang baharu ditandatangan pada 31 Disember 2019.
Sesi kemudiannya berhenti rehat untuk sesi bergambar dan jamuan ringan.
Sesi taklimat kemudiannya bersambung dengan taklimat am bertajuk Akta Pembangunan Mineral 1994 oleh En Salehuddin bin Mohamad, Penolong Pengarah Kanan, JMG Malaysia Ibu Pejabat dan diikuti oleh taklimat Peraturan Statistik oleh Pn Salmiah bt Nawi, Penolong Pengarah Kanan JMG Malaysia Ibu Pejabat.
En Hizam bin Abd Kadir, Timbalan Pengarah Lombong dan Kuari JMG Pahang kemudiannya menyampaikan taklimat beliau berkaitan Peraturan Kompaun, berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pengkompaunan Kesalahan) 2019 yang baharu diterbitkan.
Program kemudiannya diteruskan dengan sesi dialog antara pihak jabtan berkaitan perlombongan dan pihak industri berkaitan perlombongan. Moderator sesi dialog ialah En Salehuddin bin Mohamad, dengan ahli panel terdiri dari Tn Hj Hisamuddin bin Termidi, Dato’ Ir Azman bin Ab Majid, En Hizam bin Abd Kadir dan En Shaharani bin Abdul Ghani selaku wakil dari Pejabat Pengarah dan Galian (PTG), Pahang.
Beberapa pemakluman, permasalahan, pandangan dan idea diutarakan oleh para hadirin sepanjang sesi dialog ini dijalankan dan telah mendapat jawapan dan maklumbalas yang bersesuaian dari ahli panel berkaitan.
Sesi dialog tamat pada pukul 1.00 petang dan program ditangguhkan untuk sesi petang.
Program di sebelah petang bermula dengan pendaftaran para peserta pada pukul 2.30 petang.
Sesi taklimat pada pukul 3.00 petang dengan bacaan doa oleh Tn Hj Ahmad Fadzil bin Sulaiman, Pembantu Geosains JMG Pahang dan diikuti oleh nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Pahang.
Program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah JMG Pahang, YH Dato’ Ir Azman bin Ab Majid. Beliau mengucapkan selamat Tahun Baharu 2020 dan selamat datang kepada semua hadirin yang dari pengusaha-pengusaha kuari. Beliau juga menekankan tentang keperluan self-regulatory di kalangan para pengusaha berkaitan pengkuarian dan tanggungjawab mereka dalam memastikan kelestarian industri pengkuarian.
Sesi berikutnya diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Tn Hj Hisamuddin bin Termidi, Timbalan Ketua Pengarah (Korporat dan Ekonomik Mineral) JMG Malaysia yang mewakili Ketua Pengarah JMG Malaysia, Datuk Shahar Effendi bin Abdullah Azizi.
Sesi kemudiannya berhenti rehat untuk sesi bergambar.
Sesi taklimat kemudiannya bersambung dengan taklimat bertajuk Kaedah-Kaedah Kuari Pahang 2004 yang disampaikan olen En Hizam bin Abd Kadir. Timbalan Pengarah Lombong dan Kuari JMG Pahang, disusuli oleh taklimat bertajuk Peraturan 11 (Penyata) – Kaedah-Kaedah Kuari Pahang 2004 yang disampaikan oleh En. Adha Syuraini bin Abd Ghani, Pegawai Geosains Kanan, JMG Pahang.
Program kemudiannya diteruskan dengan sesi dialog antara pihak jabatan berkaitan perlombongan dan pihak industri berkaitan pengkuarian. Seperti sesi untuk sektor perlombongan, moderator sesi dialog ialah En Salehuddin bin Mohamad, dengan ahli panel terdiri dari Tn Hj Hisamuddin bin Termidi, Dato’ Ir Azman bin Ab Majid, En Hizam bin Abd Kadir dan En Shaharani bin Abdul Ghani selaku wakil dari Pejabat Pengarah dan Galian (PTG), Pahang.
Seperti sektor perlombongan, beberapa pemakluman, permasalahan, pandangan dan idea turut diutarakan oleh para hadirin sepanjang sesi dialog dijalankan dan telah mendapat jawapan dan maklumbalas yang relevan dari ahli panel berkaitan.
Sesi dialog tamat pada pukul 5.00 petang dengan jamuan ringan untuk para hadirin dan peserta.
- Sekian -