PENILAIAN BAHAYA RISIKO DAN ASPEK KONSERVASI LALUAN PENDAKIAN DI BUKIT TABUR, PERMATANG KUARZA, GOMBAK, SELANGOR

PENILAIAN BAHAYA RISIKO DAN ASPEK KONSERVASI LALUAN PENDAKIAN DI BUKIT TABUR, PERMATANG KUARZA, GOMBAK, SELANGOR
24 JUN 2024 – Pihak JMG telah dijemput oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk menyertai lawatan kerja untuk merangka pengurusan strategik bertujuan pembukaan semula laluan pendakian di Bukit Tabur, Permatang Kuarza Gombak. Lawatan ini turut disertai oleh rakan strategik iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Selangor (MOTAC), Tourism Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), BOMBA, PDRM dan Persatuan Malim Gunung Perhutanan Negeri Selangor.
Pihak JMG diketuai pengarah negeri Selangor, P.Geol. Tuan Rusli bin Tuan Mohamed telah melaksanakan penilaian awal terhadap laluan mendaki yang dicirikan oleh kepelbagaian bentuk dan sifat geologi seperti ‘residual soil, colluvium, vertical quartz cliff’ dan mineral kuarza yang dapat dilihat sepanjang laluan tersebut. Pihak JMG juga telah memberikan penerangan kepada pihak perhutanan, malim gunung dan rakan agensi yang terlibat sepanjang laluan tersebut dalam aspek kajibumi dan keselamatan laluan. Kumpulan JMG dianggotai pegawai daripada Geologi Warisan, Hidrogeologi, Sumber Mineral, Geologi Kejuruteraan dan GIS.
Pihak JMG merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutama pihak JPNS dan Persatuan Malim Gunung Selangor dalam membantu penilaian keselamatan laluan pendakian. Permatang Kuarza, Gombak merupakan muka bentuk bumi yang terpanjang di Asia, perlu dipelihara dan dihargai oleh masyarakat sebagai warisan berharga yang ada di bumi Malaysia bertuah ini.

Written by : Daniel