KUALA PERLIS, 24 Februari 2013 - JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang telah meraikan kehadiran 60 orang pelajar dari Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang ke jabatan dalam rangka lawatan sambil belajar. Program lawatan ini dianjurkan oleh pendidik IPG sebagai usaha memberi peluang kepada para pelajar (bakal guru) meneroka ilmu geologi dengan lebih dekat dan juga syarat keperluan kurikulum IPG.
Para pelajar yang hadir merupakan bakal pendidik muda dalam aliran sains. Turut mengiringi mereka ialah pensyarah IPG iaitu Puan Hariton Sharif, Cik Aida Rahayu Sharifuddin dan Cik Munirah.
Kedatangan rombongan ini disambut oleh Timbalan Pengarah (Geosains), Encik Badrol Mohamad. Manakala, sesi taklimat berkaitan pengenalan kepada JMG dan Kepelbagaian Sumber Geowarisan disampaikan oleh Encik Muhammad Mustadza Mazni, Pegawai Kajibumi diikuti sesi lawatan ke Galeri Batuan dan Mineral JMG KPP yang dikendalikan oleh Encik Khalid Mat Hashim (Pembantu Kajibumi Kanan).
Pada sebelah petangnya, para pelajar di bawa ke geotapak Hutan Aji, Perlis untuk mereka rasai sendiri menjadi seorang ahli Kajibumi. Di sini, mereka diterangkan secara "hands-on" jenis-jenis batuan sedimen. Turut menjadi aktiviti menarik di sini ialah para pelajar diberi peluang mencari sendiri fosil-fosil yang terdapat dalam batuan sedimen di sini.
Seterusnya para pelajar dibawa ke geoatapak Gua Bukit Kubu di Kuala Perlis untuk mereka melihat batu kapur Formasi Setul berusia 490-500 juta tahun dan kesan tinggalan fosil cengkerang oleh kejadian paras air laut kuno (lampau) yang terdapat di sini.
Program lawatan berakhir dengan sesi fotografi dan pemberian plak penghargaan daripada JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang kepada pihak IPG Kampus Pulau Pinang.