LAWATAN TAPAK ADUAN TANAH RUNTUH DI RASAH KEMAYAN

LAWATAN TAPAK ADUAN TANAH RUNTUH DI RASAH KEMAYAN

RASAH, 28 MAC 2021 - Satu lawatan tapak oleh pasukan  Geobencana JMGNSM telah dilaksanakan susulan daripada aduan tanah runtuh oleh seorang pemilik rumah di Rasah Kemayan,Seremban. Aduan tanah runtuh yang telah dibuat oleh En Karnan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) telah dipanjangkan sehingga ke peringkat Ibu Pejabat JMG seterusnya telah diambil maklum oleh JMG NSM untuk tindakan susulan.

Pasukan Geobencana diketuai oleh Puan Rosni iaitu Penolong Pengarah Kanan dari aktiviti Geologi Kejuruteraan dan turut serta En Nursafwan, Penolong Pengarah bagi aktiviti Hidrogeologi dan Pembantu Geosains bagi aktiviti Geologi Kejuruteraan, En Amin.

 Sebelum lawatan tapak dimulakan, satu ‘Desktop study’ telah dilaksanakan dengan menggunakan data-data yang sedia ada bagi tujuan mengenalpasti geologi, keadaan fizikal setempat dan lain-lain maklumat yang berkaitan bagi mendapatkan gambaran dan maklumat yang terperinci tentang lokasi kejadian.

Seterusnya, pasukan geobencana dianggotai oleh 3 orang kakitangan jabatan telah dihantar bagi menjalankan siasatan tapak. Pemantauan awal di kawasan yang terlibat dan cerapan telah dibuat bagi mengambil segala maklumat dan atribut yang penting bagi mengenalpasti punca-punca dan tahap risiko runtuhan. Antara maklumat yang diambil ketika pemeriksaan termasuklah geometri cerun, kadar hakisan pada permukaan cerun dan aspek geologi cerun. Keseluruhan maklumat yang diperoleh akan menjadi sebuah data yang penting untuk diteliti dan dianalisis oleh pegawai yang bertanggungjawab.

Ahli pasukan geobencana juga telah bertemu bual dengan pengadu iaitu tuan rumah bagi mendapatkan kronologi kejadian dan segala maklumat yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan. Di samping itu, penerangan dan khidmat nasihat turut disampaikan oleh Puan Rosni kepada pengadu sepanjang perbincangan bagi menjelaskan tentang faktor-faktor kejadian, risiko kepada rumah dan cadangan penyelesaian serta langkah mitigasi yang dapat dilakukan oleh pengadu bagi mengurangkan kesan dan risiko untuk sementara waktu.