13 April 2018, KUCHNG – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sarawak melalui Unit Pembangunan Lombong dan Kuari dengan kerjasama Kelab Mineral dan Geosains Sarawak (KMGS) telah menganjurkan Taklimat Penguatkuasaan Aktiviti Perlombongan di Bawah Perundangan Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Mineral Ordinance 2004, Bil. 1/2018 di Bilik Baiduri, JMG Sarawak.
En. Enggong Aji, Pengarah Mineral Dan Geosains Sarawak telah diberi penghormatan untuk merasmikan program ini. En. Salehuddin Bin Mohamad selaku Ketua Unit Pembangunan Lombong dan Kuari telah menggalas tugas sebagai penceramah sepanjang program tersebut berlangsung.
Seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil kepada 14 pemegang Tenemen Mineral yang disenaraikan aktif di Sarawak, wakil-wakil syarikat kontraktor perlombongan kepada pemegang Tenemen Mineral dan peserta-peserta dari syarikat perunding perlombongan telah menghadiri taklimat tersebut.
Objektif program ini adalah untuk meningkatkan pemahamam dan kesedaran pihak yang terlibat dalam aktiviti perlombongan di Sarawak memahami kehendak, tanggungjawab dan keperluan terhadap pematuhan kepada Akta Pembangunan Mineral 1994 dan peraturan-peraturannya serta Mineral Ordinance 2004 dan peraturan-peraturannya. Disamping itu, ia diharapkan agar merapatkan hubungan di antara JMG Sarawak dengan stakeholders industri perlombongan di negeri Sarawak.
Pada penghujung program, Pengarah Mineral Dan Geosains Sarawak telah menyempurnakan majlis penutupan rasmi serta menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta program. Rata-rata peserta yang hadir amat berpuas hati dan berharap agar program seumpama ini diadakan dari semasa ke semasa supaya tahap kesedaran terhadap pematuhan peraturan dan akta dapat ditingkatkan.