Pada 25 hingga 28 Jun 2013 yang lalu, satu bengkel Asean Minerals Database and Information System telah diadakan di Harris Resort Hotel, Kuta Beach, Bali, Indonesia. Bengkel ini telah dianjurkan oleh Center for Geological Resources, Geological Agency, Ministry of Energy and Mineral Resources of the Republic of Indonesia dan ditaja oleh Geological Survey of Japan, AIST.
Bengkel ini adalah lanjutan daripada kursus The Training Program on Mineral Resource Database for ASEAN (ENMD) yang telah dijalankan di Tokyo, Jepun berkaitan Pangkalan Data Mineral ASEAN yang telah dibangunkan oleh Indonesia dengan kerjasama Malaysia untuk kegunaan negara-negara ASEAN. Kursus ini tertumpu kepada untuk menyeragamkan pelayan (server) Indonesia dengan pelayan Jepun untuk memenuhi piawaian Open Geospatial Consortium (OGC) dari data asal ke format mineral ASEAN dan untuk membiasakan penggunaan permohonan metadata serta berkongsi maklumat dengan ahli-ahli lain negara ASEAN.
Peserta berpeluang mengetahui dan mempelajari pendekatan semasa yang dipraktikkan oleh negara-negara terlibat dalam membangunkan sistem pangkalan data sepusat serta berpeluang untuk turut sama berbincang dan berkongsi idea dan pendapat dalam mempertingkatkan lagi sistem yang dibina. Peserta juga diberi peluang untuk melihat sendiri teknik-teknik yang digunakan untuk membangunkan sistem dan aplikasi web GIS yang digunakan serta kaedah pengurusan pangkalan data supaya lebih teratur dan seragam.
Hasil daripada perbincangan antara delegasi negara-negara ASEAN yang mengambil bahagian dalam bengkel ini, mereka bersetuju membantu Malaysia dalam usaha memberi tunjuk-ajar, bantuan dan perkongsian data mineral antara negara ASEAN. Dengan bantuan dan kepakaran yang ada pada mereka, negara pasti memperolehi manfaat dalam perkongsian data mineral ini selain dapat memperkembangkan pangkalan data mineral negara merangkumi maklumat perdagangan industri mahu pun hiliran.