http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/terpaksa-guna-telaga-tiub-1.819248
Terpaksa Guna Telaga Tiub JMG Bagi Padam Kebakaran
PEKAN - Operasi memadam kebakaran melibatkan kawasan ladang milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Pekan berdepan kesukaran ekoran masalah punca air kering dan cuaca panas.
Anggaran kawasan terlibat lebih 12 hektar dan kawasan kebakaran yang berjaya dipadamkan kira-kira dua hektar sehingga petang semalam.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pemadaman pagi semalam berdepan masalah apabila sumber air dari kawasan parit berhampiran kering.
Menurutnya, bomba kini bergantung kepada bekalan air dari telaga tiub milik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk operasi tersebut.
“Pada masa sama, kita juga mendapat bantuan daripada PKNP yang menyediakan jentolak dalam operasi ini.
“Operasi pemadaman masih dalam tindakan dan bagi melancarkan operasi kita minta pihak JMG operasikan telaga tiub di kawasan itu selama 24 jam,” katanya.
Ashrul Riezal berkata, kebakaran yang berjaya dipadamkan setakat ini melibatkan kawasan kira-kira satu kilometer dari jalan utama bagaimanapun agak membimbangkan apabila api merebak semakin jauh ke dalam ladang.
“Setakat ini ada kawasan pokok-pokok kelapa sawit telah musnah, jadi kita cuba kawal kebakaran supaya ia tidak merebak dan memusnahkan kawasan yang lebih besar.
“Dalam operasi ini, seramai 15 anggota bersama dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan terlibat,” katanya.
Menurutnya, kebakaran di kawasan itu sudah dilaporkan beberapa kali dan operasi pemadaman dilakukan namun pagi kelmarin, api merebak dengan cepat dan melibatkan kawasan agak luas.
“Kawasan ladang ini juga bertanah gambut yang mudah terbakar dalam keadaan cuaca panas sekarang,” katanya.