Sesi Perbincangan dan Semakan Dokumen Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pahang bersama Agensi Teknikal Negeri Pahang Darul Makmur

Sesi Perbincangan dan Semakan Dokumen Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pahang bersama Agensi Teknikal Negeri Pahang Darul Makmur

Sesi perbincangan dan semakan dokumen Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pahang (PLANMalaysia@Pahang) bersama agensi-agensi teknikal berkaitan perancangan pembangunan di Negeri Pahang telah diadakan pada 4 dan 5 Jun 2018. Sesi ini diadakan bagi membincangkan dan menyemak dokumen-dokumen (draf) yang dirancang akan dibentangkan oleh pihak PLANMalaysia@Pahang kepada Pihak Berkuasa Negeri Pahang (Kerajaan Pahang) iaitu :

  1. Kaedah-kaedah Kawalan Perancangan (Pemajuan Tanah Tinggi dan Lereng Bukit) di Negeri Pahang
  2. Standard Operating Procedure (SOP) Jawatankuasa Teknikal Kawasan Sensitif Alam Sekitar (Tanah Tinggi dan Lereng Bukit) Negeri Pahang
  3. Garis Panduan Perancangan Permohonan Kebenaran Merancang Bagi Aktiviti Pertanian Negeri Pahang

Sesi perbincangan dan semakan draf dokumen ini diadakan di Rumah Tamu Seri Gelora, Taman Gelora, Kuantan, Pahang Darul Makmur.

Sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Pengarah PLANMalaysia@Pahang, Puan Norasiah Bee binti Mohd Haniff dan disertai secara aktif oleh jabatan dan agensi teknikal yang terlibat berkaitan perancangan pembangunan di Negeri Pahang, antaranya termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Pahang (JMG Pahang), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kerja Raya, Unit Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya, Pejabat Tanah dan Galian serta Pihak Berkuasa Tempatan dari seluruh Negeri Pahang. Jabatan Pertanian dan Jabatan Veterinar turut hadir bagi sesi perbincangan berkaitan dokumen keperluan pertanian dan modul penternakan haiwan.

JMG Pahang diwakili oleh En Mohammad Aznawi b. Hj Mat Awan Ketua Unit Pengurusan Maklumat), En Yusuf bin Imbun (Pegawai Geosains Unit Sumber Mineral) dan En Asnizam bin Ayub (Pegawai Geosains Unit Geosains) sepanjang dua hari sesi perbincangan dijalankan.

Antara isu-isu dan perbincangan yang dibangkitkan sepanjang dua hari sesi semakan berlangsung ialah berkaitan akta-akta perundangan, garis-garis panduan, SOP dan keperluan sedia ada jabatan teknikal yang boleh digunapakai bersekali dengan draf dokumen yang dibentangkan oleh pihak PLANMalaysia@Pahang. Bagi pihak JMG Pahang, isu-isu secara umum banyak berkisar berkenaan keperluan kajian geologi, penentuan kecerunan, kelas kecerunan, pemetaan geologi terain, kajian geoteknikal dan pemetaan kawasan geobencana.

Sesi perbincangan dan semakan draf dokumen ini ditangguhkan pada pukl 12.45 tengahari oleh Pengaran PLANMalaysia@Pahang dengan ucapan penghargaan dan terima kasih beliau atas kerjasama dan buah fikiran yang telah diberikan sepanjang sesi perbincanagan ini berlangsung. Beliau juga memaklumkan perbincangan susulan akan dibuat dari masa ke semasa bagi memastikan dokumen-dokumen ini dapat dihasilkan dengan baik.

Diharapkan sesi perbincangan bersama agensi teknikal berkaitan perancangan pembangunan ini dapat memberikan impak percambahan ilmu, perkongsian maklumat dan manfaat pengetahuan tambahan antara agensi teknikal yang hadir. Semoga dokumen-dokumen ini dapat diperhalusi dengan lebih baik, disiapkan dan digunapakai bagi merangka dan merancang pembangunan mapan dan lestari di Negeri Pahang Darul Makmur.

JMG Pahang juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas jemputan oleh pihak PLANMalaysia@Pahang bagi turut sama menyertai sesi perbincangan dokumen ini.

Written by : aznawi