Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa JMG Pahang

Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa JMG Pahang

Pada 30 Mei 2018, bersamaan 14 Ramadhan 1439H, JMG Pahang telah mengadakan Program Perhimpunan Bulanan bersekali dengan Majlis Berbuka Puasa JMG Pahang. Majlis Berbuka Puasa ini merupakan program tahunan JMG Pahang dan dianjurkan oleh Biro Sosial Kelab Sukan dan Kebajikan JMG Pahang yang dipengerusikan oleh Cik Nafizah binti Md Padzin, Pegawai Geosains Unit Sumber Mineral JMG Pahang serta dibantu oleh barisan jawatankuasa yang dibentuk.

Aktiviti program bermula seawal 9.30 pagi dengan kakitangan lelaki JMG Pahang bersama-sama bergotong royong memasang khemah, kerusi dan meja untuk persiapan majlis. Sebanyak tiga khemah telah ditegakkan bagi menampung hadirin yang akan hadir. Kakitangan wanita pula bersama-sama menyediakan persiapan uintuk memasak hidangan dan juadah majlis berbuka puasa.

a3

Acara memasak diketuai oleh En Wan Ahmad Akhtar bin Wan Mohamad, Penolong Pegawai Geosains Unit Pengurusan Maklumat yang sememangnya berkebolehan dan pakar dalam bidang masakan. Menu masakan utama ialah bubur lambuk dan kari daging beserta masakan nasi dan sayuran. Acara memasak bermula sekitar 10.30 pagi dan juadah selesai dimasak pada 3.00 petang.

a5

Persediaan kemudian dibuat untuk lokasi foyer ruang legar bangunan JMG Pahang, bagi dilaksanakan bersekali Perhimpunan Bulanan serta tempat menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Majlis Perhimpunan Bulanan JMG Pahang bermula pada 6.30 petang. Pengerusi majlis pada kali ini ialah En Sazrie Shahril Rezza bin Mohd Jali, Pembantu Geosains Unit Sumber Mineral JMG Pahang. Pengarah JMG Pahang, YH Dato’ Ir Azman bin Ab Majid selanjutnya menyampaikan salam hormat penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan dan keluarga yang hadir walaupun dalam kesibukan tugas semasa semua kakitangan dan keluarga masing-masing. Beliau seterusnya menyampaikan beberapa amanat dan pesanan ringkas terbaharu berkaitan perkembangan semasa jabatan yang perlu diambil perhatian oleh kakitangan JMG Pahang.

a1

 

a6

a7

Program diteruskan dengan majlis berbuka puasa selepas Azan Maghrib dialunkan, diikuti Solat Maghrib berjemaah. Usai Solat Maghrib semua hadirin menjamu selera dengan hidangan yang disediakan. Alhamdulillah, dengan sumbangan hadirin, pelbagai menu boleh dinikmati bersama, walaupun menu asal yang dirancang agak terhad pilihannya.

Selepas menikmati juadah berbuka puasa dan tiba waktu Isyak, hadirin bersama-sama menunaikan Solat Isyak secara berjemaah dan diikuti oleh Solat Terawih dan diakhiri Solat Witir. Para hadirin kemudiannya menikmati hidangan moreh yang disediakan.

Program Perhimpunan Bulanan serta Majlis Berbuka Puasa JMG Pahang ini ditangguhkan sekitar pukul 10.45 malam selepas para hadirin sama-sama bergotong royong membersih dan mengemaskan perkarangan pejabat yang digunakan untuk program ini berlangsung.

Alhamdulillah, program ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama erat kakitangan dan ahli keluarga yang hadir. Diharapkan silaturrahim yang erat antara kakitangan JMG Pahang akan terus dapat dipupuk dan dieratkan pada masa akan datang dan didoakan program ini akan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan dirahmati Allah selalu.

Written by : aznawi