Program “Menuju Kesempurnaan Ibadah” Anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Pahang Darul Makmur

Program “Menuju Kesempurnaan Ibadah” Anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang,  Pahang Darul Makmur

Program “Menuju Kesempurnaan Ibadah” peringkat Negeri Pahang Darul Makmur telah diadakan di Dewan Seminar 1, Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan, Pahang Darul Makmur. Program ini dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK Pahang) sebagai program ibadah bagi mengimarahkan dan merancakkan kemeriahan aktiviti bulan Ramadhan di Negeri Pahang Darul Makmur.

SUK Pahang telah menjemput jabatan-jabatan kerajaan dari Jabatan Persekutuan dan Negeri Pahang untuk hadir bagi program ini. JMG Pahang telah diwakili oleh En Zaharil b. Juhari, Penolong Juruukur (JA29) dan En Mohd Afiq Firdaus bin Ahmat, Pembantu Operasi (H11) bagi program yang berlangsung selama 2 hari, iaitu pada 23 hingga 24 Mei 2018, bersamaan 7 dan 8 Ramadhan 1439 Hijrah.

masjid sultan ahmad shah 1 pendaftaran

Hari pertama program diisi dengan ceramah Kelebihan Puasa dan Zakat Fitrah pada sebelah pagi sebelum diteruskan dengan program SMART bagi ibadah Solat Fardhu dan Solat Sunat. Pada sebelah petang selepas Solat Zuhur dilaksanakan latihan amali dan ceramah berkaitan Bacaan Sempurna Al Fatihah serta surah-surah pendek dan ayat lazim.

Hari kedua program dimulakan dengan Tatacara Pengurusan Jenazah pada sebelah pagi dan diikuti oleh Latihan Amali Tatacara Pengurusan Jenazah selepasnya. Selepas Solat Zuhur dianjurkan pula ceramah bertemakan kekeluargaan bertajuk Keluarga Bahagia, Negara Sejahtera.

Sepanjang program berlangsung, ceramah-ceramah agama, latihan amali dan praktikal dilaksanakan dan disampaikan oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Pahang Darul Makmur dengan kerjasama jabatan-jabatan lain yang berkaitan.

Majlis penutup pada pukul 4.30 petang disempurnakan sendiri oleh Imam Besar Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan.

Diharapkan program ini telah memberikan manfaat dan ilmu yang berguna kepada para peserta dan sekelian yang hadir menyertainya, Semoga ceramah yang diberikan dapat membantu semua yang hadir bagi berusaha mencapai kesempurnaan dalam ibadah. Pihak JMG Pahang juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas jemputan yang diberikan oleh pihak SUK Pahang bagi turut sama menyertai program ini.

- sekian -

Written by : aznawi