16 Oktober 2018 - Sesi taklimat dan perbincangan Roasting Kiln Method (Kaedah Relau Pembakaran) oleh pihak J Resources Bhd., syarikat pengusaha Lombong Emas Penjom (Penjom Gold Mine) di Lipis, Pahang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Delima, JMG Pahang, pada pukul 11.00 pagi, 16 Oktober 2018.
Sesi taklimat dan perbincangan ini diadakan bagi menerangkan dan membincangkan berkaitan kaedah terkini pemprosesan, pengekstrakan dan perlombongan emas yang dicadang dilaksanakan oleh pihak J Resources Bhd. Ini susulan harga emas dunia yang relatif agak rendah kebelakangan ini, serta limitasi kawasan memerlukan satu kaedah perlombongan yang lebih ekonomik dan berdaya saing untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.
Lombong Emas Penjom di Lipis, Pahang mula beroperasi pada tahun 1996, dengan kajian kesesuaian perlombongan (feasibility study) di kawasan lombong ini telah dimulakan sejak tahun 1991. Pihak J Resources Bhd. mengambil alih operasi Lombong Emas Penjom mulai tahun 2011.
Pada sesi taklimat dan perbincangan ini, J Resources Bhd. diwakili oleh En. Agus Kusradi selaku Pengurus Lombong, En. Che Rusdi b. Che Lah serta Cik Khairulina bt. Mohd Kamaruddin selaku Environment Superintendent bagi J Resources, Lombong Emas Penjom. Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengarah JMG Pahang, Dato’ Ir. Azman b. Ab. Majid dan turut disertai oleh Ketua Unit Lombong dan Kuari, En. Mohamed Hizam b. Abd. Kadir, Ketua Unit Pengurusan Maklumat, En. Mohammad Aznawi b. Hj Mat Awan, Pegawai Geosains Kanan, En. Adha Syuraini b. Abd. Ghani dan kakitangan-kakitangan sokongan kanan Unit Lombong dan Kuari JMG Pahang.
Sesi taklimat dimulakan oleh En. Che Rusdi b. Che Lah yang memberikan penerangan berkenaan kaedah pemprosesan terkini yang dirancang dilaksanakan mulai tahun 2018.
Kaedah pemprosesan terkini ini agak berbeza berbanding kaedah digunapakai terdahulu yang menggunakan kaedah fizikal, kaedah kimia dan analisis data metalurgi (metallurgical data analysis). Menerusi kaedah terkini, bijih berkandungan emas (gold bearing ores) dan kelodak (tailings) melalui sembilan (9) kaedah pemprosesan iaitu :
- Dredging (mini dredging)
- Dewatering circuit
- Flotation
- Roasting kiln
- Grinding and gravity concentrator
- Leaching and absorption
- Stripping and electro winning
- Smelting and bullion
- Reagent mixing and storage
Penerangan terperinci diberikan berkenaan kaedah Roasting Kiln – relau pembakaran dan susunatur terbaharu kawasan lombong serta kilang pemprosesan Lombong Emas Penjom bagi menempatkan struktur-struktur baharu yang dirancang. Secara umum, roasting kiln ini berfungsi dengan tujuan utama untuk mengeluarkan organik karbon dan membebaskan butiran emas terkunci dalam bahan bersulfat dengan menggunakan suhu tinggi (to remove the organic carbon and liberate the interlocking gold in sulphide material using high temperature). Suhu relau pembakaran ditetapkan pada 650 darjah celcius, dengan pembakaran menggunakan bahan bakar diesel.
Ujian pembakaran (roasting kiln trial run) akan dilaksanakan di Lombong Emas Penjom selama 3 hari berturut-turut bermula tarikh 18 Oktober 2018 yang akan turut disertai dan dibuat pemantauan oleh pihak-pihak berwajib termasuk Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Alam Sekitar Malaysia.
Cik Khairulina bt. Mohd Kamaruddin selaku Environment Superintendent Lombong Emas Penjom selanjutnya memberikan penerangan berkenaan langkah-langkah mitigasi dan keperluan kawalan alam sekitar yang perlu diambil perhatian oleh pihaknya. Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA Report) terkini bagi Lombong Emas Penjom kepada pihak berwajib sedang dalam peringkat kajian dan akan ditafsir dan dibuat penilaian semula selepas hasil roasting kiln trial run diperolehi dan dibuat analisis khusus.
En. Agus Kusradi selaku Pengurus Lombong Emas Penjom selanjutnya memaklumkan berkenaan kepentingan kaedah pemprosesan terbaharu menggunakan roasting kiln method ini bagi memastikan kelansungan Lombong Emas Penjom untuk terus beroperasi, Beliau juga memberikan komitmen pihak syarikatnya untuk memastikan operasi kilang dan lombong yang dilaksanakan mematuhi skop dan skepifikasi yang ditetapkan oleh pihak berwajib, dengan mengambil kira skop ekonomik dilaksanakan dan mendatangkan kebaikan serta kesaksamaan untuk semua pihak.
Sesi taklimat dan perbincangan ditangguhkan pada pukul 1.00 petang oleh Dato’ Pengarah JMG Pahang dengan ucapan penghargaan dan terima kasih beliau atas penerangan terperinci yang telah diberikan sepanjang sesi taklimat dan perbincangan ini berlangsung. Beliau juga turut mencadangkan data dan hasil kajian roasting kiln trial run ini turut dihantar dan dikongsi bersama untuk rujukan susulan JMG Pahang.
Diharapkan sesi taklimat dan perbincangan bersama pihak J Resources Bhd. dan JMG Pahang berkaitan kaedah perlombongan terkini Lombong Emas Penjom ini dapat memberikan manfaat yang berguna dalam memastikan kelansungan perusahaan perlombongan, khususnya emas di Negeri Pahang, sekaligus memastikan kelestarian alam sekitar bagi warisan semua pada masa hadapan.
JMG Pahang juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kerjasama pihak J Resources Bhd. Lombong Emas Penjom Mine bagi sesi taklimat dan perbincangan ini.