Program Perhimpunan Bulanan JMG Pahang dan Majlis Taklimat CUEPACS

Program Perhimpunan Bulanan JMG Pahang dan Majlis Taklimat CUEPACS

Pada 29 Oktober 2018, bersamaan hari Isnin, telah dijalankan Program Perhimpunan Bulanan Bil 9/2018 JMG Pahang. Bersekali dengan program tersebut, telah diadakan sesi taklimat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang telah disampaikan oleh En Faezi b. Mansor, wakil dari Pusat Perkhidmatan Pelanggan Takaful CUEPACS Selangor berkaitan aktiviti dan perkembangan terkini skim-skim yang berkaitan dengan kakitangan perkhidmatan awam Malaysia.

Program bermula pada pukul 9.30 pagi dengan semua kakitangan berkumpul di Bilik Ilmenite, JMG Pahang. Juruacara perhimpunan bulanan kali ini ialah En. Hazami b. Abdullah, Pembantu Geosains Kanan JMG Pahang. Program dimulakan dengan bacaan doa oleh En Muhammad Azmi b. Mohammad Asri, Pegawai Sambilan Harian (PSH) JMG Pahang, diikuti nyanyian Lagu Negaraku, nyanyian Lagu Pahang serta Lagu Perkhidmatan Awam Malaysia. Bacaan Ikrar dibacakan oleh En Mohd Nazreen Alhafiz b. Muhd Japeri, Pembantu Geosains, JMG Pahang.

PB1018 1b

PB1018 1a

PB1018 1

Program diteruskan dengan ucapan olen Hj Shari b. Ismail, Timb. Pengarah Unit Sumber Mineral yang diamanahkan oleh Pengarah JMG Pahang yang tidak dapat hadir atas urusan lain yang tidak dapat dielakkan. Hj Shari menyampaikan salam dan amanat perutusan Pengarah, antara lain termasuklah berkaitan perihal tarikh penutupan akaun kewangan tahunan, penjagaan aset kerajaan, pelaporan prestasi serta Sasaran Kerja Tahunan dan Zon Larangan Merokok yang akan dikuatkuasakan di JMG Pahang.

PB1018 3

Program selajutnya ialah sesi taaruf pengenalan diri Pegawai Sambilan Harian (PSH) JMG Pahang. JMG Pahang telah mengambil tiga orang PSH iaitu En Muhammad Azmi b. Mohd Asri yang berasal dari Alor Setar, Kedah, Cik Norhafizah bt. Abd. Ghani dari Kemaman, Terengganu dan Cik Tengku Nor Soliha bt. Tengku Muhammad Danial yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu. Semua PSH berkaitan diambil berdasarkan keperluan tugasan semasa Aktiviti Hidrogeologi dan Geologi Kejuruteraan, Unit Geosains, JMG Pahang.

Program diteruskan dengan ucapan dan taklimat oleh wakil dari CUEPACS, iaitu En Faezi b. Mansor. En Faezi memulakan taklimat beliau dengan menerangkan berkenaan skim perlindungan dan keselamatan sedia ada dalam CUEPACS dan skim-skim terkini yang baharu dilancarkan. Antara lain ialah termasuk Skim Takaful CUEPACS iaitu berkaitan Skim Simpanan dan Insurans Kesihatan serta MEDIKAD iaitu Skim Insurans Hospitalisasi dan Pembedahan bagi penjawat awam. En Faezi turut memberikan sedikit sebanyak penerangan berkenaan manfaat dan kelebihan skim-skim tersebut serta anggaran premium bayaran yang diperlukan. Beliau juga memaklumkan kaunter pendaftaran akan dibuka selepas sesi taklimat ini bagi kakitangan yang berminat untuk menyertai skim yang ditawarkan. Sesi soal jawab selanjutnya dibuka dan beberapa kakitangan JMG Pahang telah mengutarakan beberapa persoalan yang menarik, antaranya termasuk perbezaan skim terbaharu berbanding yang terdahulu.

PB1018 4

PB1018 4a

Program Perhimpunan Bulanan Bil 9/2018 JMG Pahang ini ditangguhkan dengan majlis sambutan hari kelahiran kakitangan yang lahir pada bulan September dan Oktober serta makan tengahari pada pukul 12.30 tengahari.

PB1018 5

Semoga program yang dilaksanakan ini terus dapat sentiasa menambah baik kesepakatan, kerjasama dan silaturrahim yang erat antara kakitangan JMG Pahang dan terus menambahkan keceriaan tugasan kakitangan di pejabat secara khususnya.

-Sekian-

Written by : aznawi