Lawatan Tapak Geologi di sekitar Bentong

Lawatan tapak adalah sesuatu yang integral dalam bidang kajian geologi. Jikalau ahli kimia memerlukan makmal untuk membuktikan sesuatu teori, lawatan tapak adalah sinonimnya bagi ahli kajibumi. Menyedari kepentingannya, JMG Pahang telah menjadikan lawatan tapak sebagai program wajib setiap kali mengadakan mesyuarat pemantauan projek pembangunan di luar pejabat.

Objektif utamanya ialah memberi pemahaman dan kesedaran kepada semua pegawai tentang kajian-kajian semasa di jabatan dan melihat sendiri realiti sebenarnya di lapangan. Mesyuarat Pemantauan Projek Pembangunan Bil. 1/ 2013 telah diadakan pada 16 sehingga 18 April bertempat di Hotel Seri Malaysia, Genting Highland. Program lawatan tapak telah diatur melibatkan lawatan ke 5 tapak geologi iaitu singkapan batuan granit dengan kesan gerakan Zon Sesar Bukit Tinggi, Stesen Pemantauan GPS, Lombong Timah Primer, kolam air panas dan singkapan melange Bentong - Raub Suture Zone.

Program lawatan tapak dimulakan kira-kira jam 9 pagi pada 17 April dengan kumpulan pegawai bergerak menuju ke tapak geologi pertama iaitu singkapan dinding granit di tepi Lebuhraya Karak  yang terletak berhampiran perkampungan Bukit Tinggi. Di sini, fokus utama ialah mengenalpasti kesan-kesan gerakan zon sesar Bukit Tinggi pada batuan granit dan kaedah memahami mekanisma gerakan batuan akibat pergerakkan dalam zon sesar ini. En. Mazlan selaku koordinator lawatan telah menerangkan secara terperinci bagaimana memahami aktiviti geologi yang telah berlaku di sini dengan melihat kepada tanda-tanda yang terdapat pada batuan.  

P2

Setelah menghabiskan masa hampir sejam di lokasi pertama, kumpulan lawatan telah bergerak ke lokasi ke 2 iaitu stesen pemantauan GPS milik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Struktur binaan yang ditanam di dalam batuan dasar ini bertujuan mengesan pergerakan pada blok batuan melalui pemantauan perubahan bacaan GPS. Kemudian program lawatan diteruskan dengan melawat kolam air panas Bentong yang terletak kira-kira 18 km dari bandar Bentong melalui jalan lama menghala ke Kuala Lumpur atau Janda Baik. Kawasan ini telah dimajukan sebagai tarikan pelancongan dengan pembinaan kolam-kolam mandi dan chalet penginapan. Pada peringkat perancangan awal, pihak pemaju telah meminta khidmat nasihat dari pihak JMG Pahang berkenaan sumber air panas yang terdapat disini.

       P4             P5    

Lawatan diteruskan dengan melawat sebuah lombong timah primer Marvelleous Rich Sdn Bhd yang terletak di Kg Rasia. Lokasi lombong ini mempunyai sejarah perlombongan timah yang lama bermula dengan perlombongan timah plaser sehinggalah ke primer pada masa kini. Timah primer di lombong ini berada dalam batuan hos syis dan menunjukkan asosiasi dengan besi. Pihak pengurusan lombong telah memberikan penerangan ringkas bagaimana timah dari dalam batuan di proses sehingga kepada butiran halus bijih timah.

 P9

Lokasi terakhir yang dilawat ialah singkapan melange yang terletak di tepi Jalan Bentong - Raub. Kewujudan melange ialah satu ciri penting dalam mengenalpasti pembentukan Bentong - Raub Suture Zone sebagaimana yang dinyatakan oleh beberapa pengkaji seperti Hutchison dan I. Metcalfe. Singkapan melange yang dilawati menunjukkan sifat breksia dengan serpihan yang yang dikenalpasti antaranya batu pasir, batu lumpur dan syis.   

        P7            P8

Program lawatan tapak berakhir di sini. Melalui program sebegini, diharapkan pegawai JMG Pahang akan lebih peka kepada fungsi jabatan di samping dapat menambahkan ilmu serta kesedaran terhadap geologi di negeri Pahang ini khususnya. 

Written by : zaki_alias