Sambutan Hari Asyura

Hari Asyura yang disambut pada setiap 10 Muharram tahun Hijrah merupakan hari besar dalam kalendar tahunan Islam. Ia merupakan hari yang sarat dengan pelbagai peristiwa bersejarah untuk kita renungi dan mengambil iktibar. Pada tahun ini tarikh 10 Muharram 1434 jatuh pada 24 November 2012. Bagi umat islam di Malaysia, tidak lengkap rasanya sambutan Hari Asyura jika tidak bergotong royong memasak bubur asyura. 

Bagi meraikan hari kebesaran ini, Biro Sosial Kelab Sukan dan Kebajikan JMG Pahang (KESKEPA) yang diketuai oleh En. Wan Ahmad Akhtar b. Wan Mohd telah menganjurkan acara memasak bubur asyura pada 28 November 2012 di perkarangan letak kereta JMG Pahang. Memasak bubur asyura memerlukan perancangan yang rapi kerana melibatkan pelbagai jenis bahan ramuan dan proses memasak yang mengambil masa yang panjang. Untuk memastikan bubur asyura yang enak dihasilkan, Biro Sosial telah mengambil inisiatif menjemput tukang masak berpengalaman dari KEMAS Bukit Ubi, Kuantan iaitu Puan Kamisah. Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana sudi memenuhi undangan kami.

Proses penyediaan bahan dan memasak bubur asyura bermula pada jam 9.00 pagi melibatkan hampir semua kakitangan JMG Pahang. Tidak lupa acara ini juga disertai oleh beberapa kakitangan Makmal Kimiabumi Kuantan. Usaha muafakat ditunjukkan bermula dari peringkat mengupas bawang, membancuh rempah dan bergilir-gilir mengacau bubur dalam kawah yang besar secara tidak langsung memupuk semangat muhibbah sesama kakitangan. Bubur asyura masak sepenuhnya pada jam 2.30 petang dan rasanya sungguh enak serta menyelerakan.  Bubur diagihkan kepada setiap kakitangan yang hadir. Sekalung tahniah kepada Biro Sosial KESKEPA kerana berusaha menganjur dan menjayakan majlis ini

 

Written by : zaki_alias